AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Sukan SEA: Atlet Selangor sumbang emas bakal terima insentif

SHAH ALAM, 15 DIS: Atlet Selangor yang menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-30 baru-baru ini bakal menerima ‘durian runtuh’ dijangka pertengahan bulan hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif dijangka RM3,000 hingga RM5,000 itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk diberikan kepada atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya dwitahunan itu.

“(Peruntukan insentif) Memang kita telah tetapkan tiga ke empat tahun lepas untuk diberi kepada mana-mana atlet Selangor yang menyumbang pingat emas sama ada dalam Sukan Olimpik, Sukan Asia mahupun Sukan SEA.

“Insentif berkenaan umpama sokongan kepada para atlet terlibat kerana daripada 56 pingat emas diraih kontinjen negara, 26 daripadanya disumbang oleh atlet negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Sweat and Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ anjuran Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA di Filipina dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan atlet negeri ini yang menyumbangkan sebahagian besar pingat emas kepada negara dalam kejohanan sukan berkenaan.

Baginda turut berharap kejayaan pada temasya sukan itu akan terus menjadi inspirasi kepada para pegawai, atlet serta MSN Selangor.

Ditanya mengenai pasukan bola sepak Selangor yang dikatakan telah ‘diswastakan’ susulan penggabungannya dengan PKNS FC, Amirudin menjelaskan skuad Red Giants masih mewakili negeri ini.

“Ini kerana 50 peratus saham pasukan itu dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan lain-lain anak syarikat akan ditentukan oleh kerajaan negeri.

“Ada juga saham daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), selebihnya (pemilikan saham) daripada orang perseorangan.

“Formula itu akan kekal dan dilihat boleh melonjakkan pasukan Selangor pada saingan liga akan datang menerusi pengurusan dan pentadbiran yang baik serta profesional,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :