AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Malaysia tambah lima pingat emas semalam

MANILA, 7 DIS: Sukan SEA ke-30 semalam menyaksikan Malaysia menambah lima lagi pingat emas pada hari keenam Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Skuad terjun negara mendahului senarai dengan kutipan dua emas menerusi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama wanita, disusuli satu emas masing-masing dalam empat lagi sukan, iaitu tenpin boling (berpasukan lelaki), snuker dan billiards (berpasangan lelaki) dan renang (50 meter kuak dada wanita).

Selain lima emas berkenaan, kontinjen Malaysia turut menambah dua lagi pingat perak dalam acara 3m papan anjal individu wanita dan acara judo lebih 100kg lelaki, selain tiga gangsa dalam acara sukan berhalangan (5km x20 berhalangan individu lelaki), marathon lelaki dan renang menerusi acara 200 meter kuak lentang lelaki.

Tambahan lima emas berkenaan tidak mengubah kedudukan Malaysia yang masih menghuni tangga kelima dengan kutipan pingat keseluruhan 28 emas, 20 perak dan 29 gangsa.

Dengan berbaki lima hari sebelum upacara penutupan, Filipina sah dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua, selepas edisi 2005 dengan kutipan 71 emas, 55 perak dan 50 gangsa, manakala Indonesia naik satu anak tangga ke kedudukan kedua, menerusi kutipan keseluruhan 40 emas, 41 perak dan 47 gangsa.

Pada aksi semalam, skuad terjun negara menghadiahkan kilauan pingat emas pertama menerusi pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Wendy Ng Yan Yee yang mengungguli acara 3m papan anjal individu wanita selepas melakar catatan 298.90 mata selepas lima pusingan terjunan pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City.

Pingat emas kedua disumbangkan gandingan Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei yang memenangi acara 3m papan anjal seirama lelaki selepas mencatat 398.16 mata selepas enam pusingan terjunan.

Dalam pada itu, skuad tenpin boling meraih emas sulung menerusi gandingan Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan yang melakar 4,980 jatuhan pin di Pusat Beli-Belah Starmall ESA, Manila.

Gandingan mantap Moh Kee Hoo dan Lim Kok Leong pula menyumbang pingat emas pertama dari sukan snuker dan billiards selepas mengenepikan cabaran pasangan tuan rumah, Alvin Barbero dan Jefrey Roda menerusi kemenangan 3-1, pada aksi penuh dramatik di Manila Hotel Tent.

Perenang elit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Phee Jinq En menutup hari gemilang kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara 50 meter kuak dada, dengan catatan rekod baharu kebangsaan iaitu 31.40 saat pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari ketujuh, hari ini dalam beberapa acara, antaranya terjun, olahraga, tenpin boling, berbasikal, gimrama, hoki ais, pelayaran dan menembak.

-BERNAMA


Pengarang :