Sebahagian sukarelawan mengutip dan membersihkan sampah pada Program Pembersihan Pantai anjuran Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) di Pantai Jeram, Kuala Selangor pada 21 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Sukarelawan Mercy bantu bersih pantai Jeram

KUALA SELANGOR, 21 DIS: Kira-kira 100 sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) memberikan komitmen membantu kerja-kerja pembersihan pantai di sekitar kawasan Jeram di sini, hari ini.

Naib Presiden III Mercy Malaysia, Prof Dr Shalimar Abdullah berkata, program itu bertujuan untuk menjaga kebersihan pantai di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya.

“Program ini turut dilaksanakan bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa yang diraikan pada bulan Disember setiap tahun.

“Menerusi program ini, kami mengutip sampah, sisa-sisa makanan dan minuman serta barangan terbuang sepanjang 1.2 kilometer di kawasan pesisir pantai ini,” katanya selepas program tersebut hari ini.

Beliau berkata, menerusi program itu ia secara tidak langsung akan meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga hidupan laut sekali gus mendidik amalan positif untuk menambah baik kualiti hidup mereka.

Katanya, pelawat atau pelancong yang datang ke kawasan pantai itu juga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuang sampah tanpa adanya rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kepentingan memulihara alam sekitar.

“Kami harap aktiviti ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam memulihara alam sekitar agar sihat dan bersih.

“Kita harus mengekalkan keindahan pantai selain memastikan hidupan marin bebas daripada kekotoran serta pencemaran kerana hidupan marin ini juga sumber makanan kita,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :