Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika menyampai ucapan majlis penutupan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur pada 21 Disember 2019. – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Nazrin gesa pemimpin bela umat Islam tanpa negara

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara-negara Islam harus menangani keperitan yang dihadapi umat Islam tanpa negara di seluruh dunia seiring dengan proses meneruskan agenda pembangunan negara masing-masing.

Menegaskan bahawa ia perlu menjadi keutamaan, titah baginda, negara-negara Islam perlu lebih terbabit dalam perbincangan dan percambahan fikiran mengenai perkara tersebut.

“Kita mempunyai tanggungjawab penting terhadap saudara sesama Islam kita yang tidak bernegara dan kita perlu melakukan usaha yang lebih baik untuk membantu dengan menawarkan tempat berteduh dan memberi sinar harapan,” titah baginda dalam ucapan diraja ketika menutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Centre (KLCC) di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai perkara ini, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar dunia tidak lupa memori gambar jasad Alan Kurdi, seorang kanak-kanak pelarian Syria berusia tiga tahun​​​​​ yang ditemui terdampar di pantai berdekatan Turki selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam di Laut Mediterranean ketika melarikan diri ke Eropah pada 2015.

“Kadang-kadang mereka kata sebuah gambar berbicara seribu kata-kata tetapi saya fikir gambar tersebut meninggalkan kita tanpa sebarang kata-kata. Ia sebuah tragedi menyayat hati. Sudah pasti banyak…lebih banyak lagi tidak dilihat atau didengar oleh dunia,” titah baginda.

Dalam menegaskan insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku, Sultan Perak bertitah: “Harus ada tempat perlindungan yang selamat yang lebih dekat dengan kampung halaman mereka.”

Baginda bertitah, tumpuan​​​​​​​ Sidang Kemuncak Kuala Lumpur terhadap pembangunan mempunyai potensi besar untuk memperbaiki kehidupan pelarian Islam di seluruh dunia.

Sultan Nazrin bertitah, ketika negara Islam menjadi lebih makmur, stabil dan maju dalam bidang teknologi, pendidikan dan peluang pekerjaan, mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan kehidupan yang selamat dan produktif kepada pelarian.

Mereka juga menjadi lebih mampu untuk membiayai usaha kemanusiaan dan pengaruh kuasa yang lebih besar di pentas dunia bagi memastikan semua negara memberi perhatian kepada krisis tersebut, titah Sultan Perak.

“Sebagai seorang Muslim, harapan tulus saya bahwa kita memimpin dalam usaha membantu saudara-saudara kita yang tidak bernegara dan bukannya membiarkan mereka ketinggalan di belakang,” titahnya.

Baginda percaya persidangan seperti Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang membina jambatan antara negara Islam di seluruh dunia, boleh menjadi batu loncatan bagi mereka bertindak lebih bersungguh-sungguh untuk menangani masalah itu.

“Memang saya percaya, lebih banyak perubahan positif boleh dicapai jika nasib orang Islam tidak bernegara menjadi perhatian utama dalam perkembangan sidang kemuncak ini,” titahnya.

Sultan Nazrin juga menzahirkan harapan bahawa edisi sidang kemuncak seterusnya itu akan menumpukan kepada kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif yang digariskan untuk membawa ummah ke hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :