DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta DYMM Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bersalaman dengan rakyat jelata pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang. 11 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-74 di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Turut bersama baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 3.50 petang disambut Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Majlis dimulakan dengan persembahan kesenian Tarian Menjunjung Duli daripada barisan penari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT).

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memotong pulut kuning pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang. 11 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, turut diadakan sembah ucapan dari Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Menerusi sembah ucapan, Mohd Amin berkata, seluruh rakyat amat berbangga mempunyai Sultan berjiwa rakyat malahan ilmu dan pengalaman berharga penuh di dada baginda.

Katanya, banyak pengalaman Duli Tuanku peroleh dengan mengembara di seluruh dunia sekali gus mendapat ilham menjadikan Selangor sentiasa makmur dan sentosa.

“Patik sebagai ketua perkhidmatan awam akan memastikan semua penjawat awam sentiasa bekerja keras dan memelihara nilai murni dalam menunaikan amanah diberi oleh Duli Tuanku dan rakyat jelata.

“Kerajaan Negeri sentiasa di bawah teraju Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa bekerja keras memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, majlis diteruskan dengan upacara Menjamah Pulut Kuning sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor dengan diiringi Amirudin dan Mohd Amin.

Majlis diteruskan dengan Santapan Diraja sambil diiringi Persembahan Silat Seni Seranteh, Persembahan Tarian Piring dari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang dan Persembahan Kumpulan Kesenian PADAT diiringi kombo Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mempersembahkan hadiah kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang. 11 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima cenderahati daripada Amirudin mewakili Kerajaan Negeri berupa replika kapal penisi diperbuat daripada emas tulen didatangkan khas dari Sulawesi.

Selain itu, Majlis Perbandaran Klang mewakili seluruh pihak berkuasa tempatan Selangor turut berkenan menyerahkan hadiah arca ukiran rumah kepada baginda.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Selangor dan keberangkatan pulang baginda sambil bersalam dengan kira-kira 3,000 rakyat jelata yang hadir.


Pengarang :