AGENDANASIONAL

Sultan Selangor zahir ucapan Selamat Hari Natal

SHAH ALAM, 25 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Hari Natal kepada penganut beragama Kristian yang meraikan perayaan itu hari ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia yang merayakan di rumah atau luar negara, beta dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas.

“Semoga memperoleh keberkatan serta kebahagiaan melimpah ruah sepanjang tahun baharu,” titah baginda dalam mesej Krismas yang dimuat naik di Facebook rasmi Selangor Royal Office, malam tadi.

Baginda bertitah, perayaan Krismas harus dimanfaat sebaik mungkin dengan meluangkan masa bersama seisi keluarga, sanak-saudara yang tinggal berjauhan dan rakan taulan.

“Sepanjang musim perayaan, marilah kita menggunakan masa untuk menikmati setiap perkara mudah dan diharap detik terindah ini mampu menyentuh hati semua melalui cara istimewa.

“Beta berharap dengan wujudnya perpaduan kaum dalam negara, hubungan persahabatan erat bersama kawan-kawan dan keselesaan di rumah masing-masing akan dapat memberi semangat baharu dalam menyambut musim perayaan ini,” titah baginda.

 


Pengarang :