Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sembah taat setia kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang sempena Hari Keputeraan baginda ke 74 pada 11 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Sultan Sharafuddin jadi pedoman Kerajaan Negeri

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor serta segala daerah takluknya dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Patik mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih tahniah buat Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku yang ke-74.

Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan Tengku Permaisuri serta kerabat Diraja Selangor dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.

Tuanku dengan segala kebesarannya bermurah hati memberi izin menaungi patik sekalian mentadbir Selangor. Betapa berbangga serta bertuahnya patik dan seluruh rakyat jelata dinaungi dan dikemudi Tuanku.

Negeri hebat ini bagaikan bahtera yang lincah dan tangkas. Ianya seumpama bahtera pinisi orang-orang Bugis, sederhana akan tetapi lincah dan besar cita-citanya.

Istilah Pinisi itu merupakan gabungan dua perkataan iaitu Picuru yang bermaksud orang-orang baik dan Binisi, sejenis ikan kecil yang tangkas serta lincah. Makanya, demi memastikan Selangor gagah belayar dan megah bersaing, patik dan sekalian barisan pentadbiran akan senantiasa menjadikan Tuanku sebagai pedoman, mengemudi bahtera dengan tangkas, lincah dan berani. Kami setia dikemudi Tuanku, sama ada ke utara, selatan, timur mahupun barat.

Keprihatinan Tuanku terhadap kemaslahatan rakyat sentiasa menjadi tauladan kepada patik dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Selangor terus mencatat kegemilangan di bawah naungan Tuanku. Selangor terus mencatatkan kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai lapangan.

Kita telah berjaya mencatatkan pelaburan RM16.4 bilion dalam sektor pembuatan sepanjang Januari hingga September lalu sebagaimana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jumlah ini melangkaui sasaran RM10 bilion ditetapkan Kerajaan Negeri dan sekali gus menjadikan Selangor berada di kedudukan teratas di antara negeri yang menerima pelaburan setakat suku ketiga tahun ini.

Amalan terbaik pengurusan

Selangor juga mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan menerima anugerah Amalan Terbaik Pengurusan Nilai Perkhidmatan Awam. Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan ciri tadbir urus yang baik serta menghayati budaya integriti terbukti membuahkan hasil, kemuncaknya apabila Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri muncul Juara Anti Rasuah yang diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 9 Disember lepas.

Dengan tema belanjawan ‘Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat’ makanya Belanjawan Selangor 2020 dibangunkan berdasarkan lima strategi berikut, Menjana Pertumbuhan dan Pemberdayaan Ekonomi Negeri, Merencana Agenda Pendidikan Unggul, Mewujudkan Selangor yang Selamat, Sihat dan Sejahtera, Menjamin Kelestarian Alam Sekitar serta Menjuarai Kemampanan Sosial.

Kerajaan Negeri juga bercita-cita besar demi memacu kemajuan negeri. Kita turut bertekad untuk menyumbang 30 peratus daripada KDNK negara menjelang 2030. Kita bercita-cita untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terunggul di rantau ini yang dapat menyediakan 60 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.

Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi negeri mahupun jabatan serta agensi persekutuan di Selangor, memerlukan kombinasi gerak kerja yang berkesan, di samping bersifat akomodatif kepada persekitaran pasaran serta peniagaan.

Justeru pada 2020, selaras dengan agenda ini, Kerajaan Negeri sukacita untuk memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari melibatkan proses memperoleh kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah. Tempoh masa ini akan ditetapkan sebagai tempoh masa maksimum bagi urusan berkaitan sehingga mencapai tahap kelulusan penuh. Bagaimanapun pemudahcaraan proses ini, masih kekal dalam kerangka perundangan yang sedia ada tanpa Kerajaan Negeri berkompromi dengan prosedur dan tatacara yang kekal berkuatkuasa.

Keperihatinan Tuanku terhadap isu alam sekitar menjadi inspirasi buat patik dan rakyat jelata. Oleh kerana itu pada 2020, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pembangunan teknologi hijau bagi memastikan Selangor menuju ke aras negeri melaksanakan pembangunan mampan secara holistik.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan pemasangan solar di bangunan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan mewujudkan kesukarelawanan hijau dalam kalangan komuniti setempat bagi melaksanakan program secara berkala bagi tujuan menghijaukan alam sekitar, mengindahkan landskap, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan memastikan kawasan masing-masing bebas dari pembakaran terbuka serta pencemaran.

Mencatat sejarah

Kerajaan Negeri berjaya mewujudkan 16 ‘Friends of River’ di sekitar Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang serta menyasarkan 21 sahabat sungai akan digembleng dengan kerjasama pelbagai pihak pada 2020.

Selangor juga bertuah kerana dipilih The Ocean Cleanup, sebuah NGO dari Belanda dalam usaha membersihkan dan memberi nafas baharu kepada Sungai Klang yang menjadi jantung hati negeri ini.

Mesin Interceptor 002 kini menelusuri Sungai Klang dan menjadi bahagian penting sungai yang ikonik itu. Selangor sekali lagi mencatat sejarah sebagai yang pertama di rantau ini untuk memiliki teknologi sebegini dan bakal menjadi ‘game changer’ kepada inisiatif kelestarian alam serantau.

Menjunjung kasih titah Tuanku yang prihatin akan kepentingan Orang Asal dan peruntukan JAKOA yang semakin menurun, pentadbiran ini membuahkan tekad dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal dengan peruntukan permulaan RM500,000 serta manfaat biasiswa Sagong Tasi yang diperluas kepada pelajar sekolah menengah agar tiada sesiapa ketinggalan dalam menikmati kemakmuran bersama hasil mahsul negeri yang kaya.

Surah As-Saf ayat keempat menekankan keutamaan untuk kita semua bersatu padu bermuafakat bagaikan ‘bunyanum marsus’; “barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Justeru amatlah mustahak bagi rakyat negeri ini untuk kekal bersatu padu menggembleng usaha memastikannya terus menerus maju dalam keadaan aman sentosa.

Raja Ali Haji nama disanjung
Penyebar ilmu membimbing bangsa
Agama budaya tetap dijunjung
Muafakat terjaga sejahtera nusa

Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang filasuf terkenal pernah menyampaikan suatu syarahan ulung berjudul Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Menerusi syarahan itu, beliau menegaskan peranan besar Islam di alam Melayu dan rantau ini di samping mengakui hakikat kepelbagaian kebudayaan mahupun keyakinan yang wujud ratusan tahun lamanya sebelum kedatangan Islam yang murni itu.

Syahadan, Islam sebagai agama rahmat, hadir mencetuskan anjakan keilmuan dan pengetahuan. Manakala alam Melayu sebelum kedatangan Islam menumpukan kepada ketinggian penzahiran estetika, kedatangan Islam membawa bersamanya suatu letusan pengetahuan yang mulai berlayar ke pelabuhan tekstual.

Sejarah membuktikan kepada kita semenjak itu alam Melayu ini mulai dipengaruhi dengan keghairahan penulisan dan penerbitan sama ada dalam bidang akidah, fekah mahupun tawarikh. Letusan keilmuan ini mengkayakan kepustakaan Melayu serta Nusantara.

Pertahan kedaulatan Raja

Diilhami pengaruh bahasa Arab, lama kelamaan, ilmuwan alam Melayu seperti Syeikh Daud Al Fatani, Raja Ali Haji dan Syeikh Abdul Samad Al-Falembani mulai menzahirkan kebijaksanaan dan buah fikiran mereka menerusi bahasa Jawi yang kemudiannya dibentuk menjadi ruh kepada bahasa Melayu, bahasa pertuturan kepada Indonesia, Brunei dan juga bahasa Kebangsaan. Ini adalah antara sumbangan Islam yang tidak boleh sama sekali dinafikan.

Bersandarkan hakikat sejarah tersebut dan kebudayaan yang mengakar dalam akal sanubari umat rantau ini, makanya pemuka dan pejuang kemerdekaan telah memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dinukil kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kemudiannya, asas ini diabadikan sekali lagi menerusi Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar menjadi pelantar kepada kesatuan serta keharmonian rakyat Malaysia.

Oleh kerana itu, patik sebagai Dato’ Menteri Besar yang menyimpul akad serta menzahirkan taat setia kepada Sultan Selangor, tidak akan sama sekali mengingkari tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan sejajar dengan hasrat Perlembagaan Persekutuan.

Raja Haji pahlawan mahsyur
Fisabilillah gelar diberi
Selangor Maju rakyatnya makmur
Daulat Raja payungi negeri

Mengakhiri ucapan sembah taat setia hari ini, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Tuanku dan Tengku Permaisuri Selangor dianugerahkan kesihatan berkekalan dalam kemanisan iman, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan berpanjangan untuk terus memerintah Selangor dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Musa Selangor, Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda Tuanku, waris- waris serta kerabat Diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

 

Ucapan sempena Ulang tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember lalu.


Pengarang :