AGENDAJENAYAH

Syabu bernilai RM7 juta dirampas di Pasir Mas

PASIR MAS, 24 DIS: Sejumlah 100 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu dianggarkan bernilai RM7 juta berjaya dirampas Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) selepas menahan sebuah pacuan empat roda di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang di sini, Isnin malam.

Komander PGA Briged Tenggara, SAC Kamarulzaman Maarof berkata dadah tersebut dirampas selepas sepasukan anggota Strike Force PGA telah terserempak dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 8.30 malam.

Beliau berkata pasukan Strike Force PGA itu kemudiannya bertindak mengekori pacuan empat roda tersebut sebelum pemandunya bertindak memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

“Dalam cubaan melepaskan diri itu, kenderaan berkenaan terbabas di bahu jalan di Kampung Tasek Permai di Lubok Gong, Rantau Panjang sebelum anggota pasukan terlihat kelibat dua suspek melarikan diri ke dalam hutan berpaya.

“Usaha menahan kedua-dua suspek gagal berikutan keadaan gelap namun pihak kami menemui satu kad pengenalan dipercayai milik salah seorang suspek berusia 27 tahun tertinggal di dalam kenderaan yang terbabas itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohammad Roy Suhaimi Sarif.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan itu menemui empat kotak yang mengandungi 100 bungkusan teh Cina yang berisi dadah jenis syabu.

“Kita percaya dadah ini diseludup masuk dari negara jiran dan bekalannya boleh menampung seramai kira-kira 40,000 penagih. Kami percaya syabu berkenaan untuk pasaran Lembah Klang dan tempatan.

“Ini merupakan rampasan terbesar yang dilakukan oleh PGA setakat tahun ini di bawak Op Wawasan di Kelantan,” katanya.

Katanya semua dadah dan kenderaan yang dirampas itu diserahkan kepada IPD Pasir Mas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-BERNAMA


Pengarang :