SELANGOR

Taman Tema Air Angry Birds dibuka di Semenyih

SHAH ALAM, 4 DIS: Penduduk Selangor berpeluang mengunjungi Taman Tema Air Angry Birds di Setia Ecohill, Semenyih yang mula dibuka pada 22 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif One Universal Production Sdn Bhd, Alvin Lee berkata, taman tema itu akan dibuka selama dua bulan dan dijangka tamat pada 5 Januari 2020 sebelum meneruskan penjelajahannya di seluruh asia.

Katanya, ia salah satu inisiatif bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan diadakan sempena ulang tahun ‘Angry Birds’ ke-10.

“Tiket yang dijual sangat terhad iaitu 2,000 tiket setiap hari bertujuan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Seperti taman tema lain, taman ini menyediakan pelbagai tarikan antaranya gelongsor air dengan karakter Red, Chuck, Bomb, Mighty Eagle dan Terence.

“Apa yang paling menarik sekali di sini ialah gelongsor setinggi 12 meter yang pasti membuat anda seronok,” katanya ketika majlis perasmian pembukaan taman tema itu.

Selain itu, terdapat aktiviti menarik lain seperti perarakan watak utama Angry Birds juga tarian termasuk sesi ramah mesra bersama pengunjung yang pastinya menghiburkan.

Terdapat juga permainan lain yang boleh dicuba pengunjung termasuk aktiviti perlumbaan di litar mini Go-Kart serta beberapa “booth” permainan mini yang menggunakan token khas.

Harga tiket dewasa ialah RM53, kanak-kanak dan warga emas pula RM40.28, manakala tawaran tiket kombo keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak) adalah RM167.48.


Pengarang :