AGENSISELANGOR

Teater ‘Kisah apung dengan rambut emas’ di UPM, Isnin ini

SERDANG, 7 DIS: Bagi menyemarakkan Kesusasteraan Rakyat Melayu dalam kalangan generasi muda, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mementaskan teater sastera rakyat bertajuk ‘Kisah Apung Dengan Rambut Emas’ di Dewan Besar, UPM di sini pada pukul 8 malam Isnin ini.

Dipersembahkan oleh Produksi Seroja Kesuma, skrip tulisan Milyana Arshad dan arahan Nadia Syamimi Yusof ini merupakan adaptasi cerita rakyat Melayu ‘Kedidi Melawan Lautan’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, FBMK UPM, Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar berkata, pementasan bersempena dengan Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) Ke-35 itu dianjurkan oleh pelajar kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu daripada Program Ijazah Sarjana Muda Sastera di fakukti berkenaan.

 

“Pementasan ini, bagi memenuhi keperluan tradisi keilmuan, khususnya dalam mengkaji dan menghayati Kesusasteraan Rakyat Melayu.

“Program tahunan ini diadakan untuk menggalakkan mahasiswa menghargai kesusasteraan rakyat Melayu melalui pentas persembahan,” katanya.

Beliau yang juga penasihat pementasan itu berkata, pementasan ini bertujuan melahirkan pelajar yang memiliki Kemahiran Insaniah di samping memantapkan diri dalam bidang akademik.

– BERNAMA


Pengarang :