RENCANAWAWANCARA

Telefon bimbit selamat digunakan ketika ribut petir

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Tahukah anda bahawa penggunaan telefon bimbit ketika ribut petir sebenarnya selamat jika dibandingkan dengan penggunaan telefon yang disambung dengan kabel telefon dalam sesebuah bangunan.

Ini kerana telefon yang disambung dengan kabel telefon mampu bertindak sebagai konduktor cas elektrik serta memungkinkannya disambar petir, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, (MetMalaysia) Jailan Simon.

“Namun begitu kebarangkalian telefon bimbit disambar kilat juga boleh berlaku sekiranya telefon bimbit sedang dicas dengan wajar pengecas (ada plak) dan digunakan semasa kejadian ribut petir,” katanya kepada Bernama dalam temuramah, baru-baru ini.

Musim monsun yang sedang melanda negara kini menjadi kerisauan kepada penggunaan telefon bimbit semasa ribut petir yang dikatakan boleh membawa maut.

Berdasarkan kajian MetMalaysia, terdapat kira-kira 16 juta ribut petir berlaku setiap tahun di seluruh dunia dan situasi di Malaysia, bagi tempoh 10 tahun iaitu antara 2008 hingga Ogos 2019, sebanyak 132 kes kematian direkodkan akibat terkena panahan kilat.

Daripada jumlah itu, pantai barat Malaysia merekodkan kematian tertinggi dengan 89 mangsa, diikuti Pantai Timur 22 mangsa dan Sabah dan Sarawak sebanyak 21 mangsa.

BAGAIMANA KILAT TERJADI

Jailan berkata kilat merupakan fenomena semulajadi berlaku terutama di kawasan tropika seperti Malaysia namun ia lebih kerap berlaku semasa tempoh peralihan monsun iaitu April-Mei dan Oktober-November.

Fenomena alam tersebut terjadi apabila proses nyahcas elektrik di ruang atmosfera berlaku dan ketika ini, jumlah tenaga yang amat besar dibebaskan serta suhunya mampu mencapai suhu 30,000 darjah Celsius, cukup panas untuk mencairkan pasir silika, katanya.

“Kilat turut memanaskan udara sekitarnya yang mencecah kira-kira suhu 10,000 darjah Celsius secara serta-merta, iaitu hampir dua kali ganda suhu permukaan matahari. Haba tersebut menghasilkan gelombang kejutan yang mengeluarkan bunyi, dikenali sebagai guruh.

“Proses kejadian kilat berlaku dengan sangat pantas menyebabkan pembentukan libasan kilat yang tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

“Kilat lazimnya terjadi di daratan pada waktu petang dan senja manakala pada waktu malam ia kerap terjadi di lautan,” jelas beliau lagi.

 

MITOS KILAT TIDAK SAMBAR DI TEMPAT YANG SAMA

 

Umum mempercayai bahawa kilat tidak akan menyambar tempat yang sama lebih daripada sekali.

Bagaimanapun, Jailan berkata hakikatnya kilat boleh menyambar di mana-mana lokasi lebih daripada sekali.

Keadaan ini boleh berlaku secara kebetulan memandangkan terdapat berjuta ribut petir berlaku setiap tahun, tambahnya.

“Selain itu, antara ciri-ciri suatu kawasan yang cenderung disambar kilat adalah disebabkan faktor ketinggian (objek yang tinggi lebih cenderung dipanah) serta aktiviti yang dijalankan ketika ribut petir berlaku,” katanya.

Jailan menjelaskan mangsa yang disambar kilat boleh mengakibatkan kecederaan parah sehingga membawa maut serta mengalami kelecuran tahap ketiga yang melampaui lapisan bawah kulit termasuk lemak, otot, tulang dan saraf.

“Kilat yang menyambar seseorang mampu menjana voltan elektrik yang amat tinggi sehingga mencecah 120,000 volt, lebih daripada mencukupi untuk menyebabkan kejadian jantung manusia terhenti (cardiac arrest).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa merujuk ramalan dan amaran cuaca sebelum menjalankan aktiviti luar terutamanya sewaktu tempoh peralihan monsun dengan ribut petir sering berlaku pada waktu petang dan senja,” katanya.

MANFAAT KILAT TERHADAP ALAM SEKITAR

Meskipun berbahaya kepada manusia, Jailan berkata, kilat bermanfaat kepada persekitaran dan fenomena semulajadi ini penting untuk bumi mencapai keseimbangan elektrik kerana bumi akan menerima cas elektrik setiap kali berlaku ribut petir.

Permukaan bumi dan atmosfera boleh mengalirkan elektrik dengan baik melalui nyahcas negatif di permukaan bumi dengan cas positif di atmosfera. Justeru, elektron dari permukaan bumi sentiasa mengalir ke atmosfera, katanya.

“Sekiranya kilat dari ribut petir tidak berlaku, ketidakseimbangan cas elektrik antara bumi dengan atmosfera bumi boleh terjadi.

“Selain itu, kilat juga menghasilkan sejenis bahan kimia yang membantu pembentukan lapisan ozon. Seperti mana diketahui, lapisan ozon sangat penting untuk melindungi bumi daripada sinaran ultraungu yang kuat akibat dari sinaran matahari,” katanya.

Selain risiko terhadap manusia, panahan kilat turut mampu mencetuskan kebakaran hutan secara semulajadi pada skala yang besar terutamanya semasa musim kering, ujarnya lagi.

CARA-CARA ELAK DISAMBAR PETIR

Pensyarah Pusat Elektromagnet dan Penyelidikan Perlindungan Kilat (CELP) Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata antara langkah keselamatan yang boleh diambil ketika ribut petir ialah dengan menjauhi wayar telefon, komputer, peralatan serta objek yang boleh mengalirkan arus elektrik seperti paip tembaga dan paip yang diperbuat dari besi.

“Ketika seseorang berada di kawasan terbuka, segera masuk ke dalam bangunan atau kereta yang berhampiran dan elak daripada berteduh di bawah pokok.

“Jika dalam keadaan terdesak dan tiada tempat berlindung, langkah terakhir bagi mengurangkan risiko dipanah petir adalah duduk dalam keadaan mencangkung ke tanah dengan meletakkan tangan di lutut serta kepala diletakkan di celah kedua-dua lutut,” jelasnya.

Beliau yang juga profesor lantikan strategik Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional, Universiti Tenaga Nasional berkata posisi sedemikian mampu membantu menjadikan badan seseorang sekecil mungkin dan meminimumkan sentuhan dengan tanah.

BANTU MANGSA DISAMBAR PETIR

Mohd Zainal berkata sekiranya berdepan dengan mangsa yang disambar petir, usah bimbang untuk menghulurkan bantuan kerana mangsa tidak menyimpan cas elektrik di badannya.

“Hubungi talian kecemasan dan laporkan kepada pihak berkuasa dan hospital. Kebiasaannya jantung mangsa akan terhenti secara tiba-tiba dan ketika ini, rawatan kecemasan penting bagi menyelamatkan mangsa.

“Berikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sekiranya tahu dan tutup kulit yang melecur dengan kain bersih, pastikan tidak membalut kulit melecur tersebut,” katanya.

Sekiranya mangsa sedar tetapi mengalami gejala kejutan, baringkan mangsa dalam keadaan kepala lebih rendah daripada tubuh dan kaki, tambahnya.

Yang pasti, seseorang seharusnya terlebih dahulu memastikan keselamatan diri sendiri dan tiada risiko disambar petir sebelum menyelamatkan mangsa, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :