Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bergambar pada Majlis Selangor Modest Fashion Gala Graced di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur pada 3 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin serikan Selangor Modest Fashion Gala 2019

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson ke Selangor Modest Fashion Gala 2019 menyerikan majlis berkenaan, malam tadi.

Turut berkenan mencemar duli ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj.

Baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad.

Hazzerwan Lee & Mariam Musa iaitu pemilik label Wan & Mary memenangi Pereka `Aspiring’ Selangor Modest Fashion 2019 pada Majlis Selangor Modest Fashion Gala Graced di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur pada 3 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Majlis yang bertempat di Hotel Four Season Kuala Lumpur itu adalah program inisiatif Kerajaan Negeri yang bertujuan melahirkan pengkarya fesyen bertaraf dunia seterusnya menempatkan Selangor sebagai hab fesyen busana santun.

Acara yang dianjurkan Invest Selangor dengan kerjasama Selangor Youth Community itu juga membawa pereka terkenal tanah air antaranya Melinda Looi, Dato’ Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Radziwill, FIZIWOO dan Rizman Ruzaini.

Kemuncak majlis itu, trofi bagi kategori Pereka `Aspiring’ Selangor Modest Fashion 2019 dibawa pulang oleh Wan & Mary yang telah mengikuti pertandingan berkenaan selama empat bulan di bawah bimbingan pakar fesyen tanah air.

Kesemua peserta menerima bimbingan daripada pakar industri seperti kurator fesyen, Faizal Hamid, penggaya fesyen, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.


Pengarang :