EXCOSELANGOR

Teroka kaedah baharu pengurusan, pelupusan sampah

SHAH ALAM, 26 DIS: Pendekatan sistematik dan efisien berhubung pengurusan sisa pepejal serta pelupusan sampah perlu dikaji dan diterokai dengan lebih komprehensif.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pendekatan itu merangkumi penambahbaikan pentadbiran, sistem data, gerak kerja, teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan.

Katanya, usaha itu bagi memastikan pengurusan dan pelupusan sisa pepejal setanding negara maju bagi memenuhi kesejahteraan rakyat selain mencapai sasaran Negeri Pintar Unggul menjelang 2025.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh anak syarikat atau agensi di bawah naugannya dalam aspek kutipan sisa pepejal dan pelupusan sampah.

“Justeru, bagi memenuhi hasrat menjadi Negeri Pintar kita mahu kedua-dua bidang ini (pengurusan dan pelupusan sisa pepejal) diterokai dengan pelbagai inisiatif baharu seperti sistem data, teknologi dan kecerdasaan buatan,” katanya.

Ng Sze Han Menyerahkan replika kunci lori kompaktor kepada kontraktor pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. 26 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan; Pengerusi Lembaga Pengarah KDEB Waste Management (KDEBWM), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut berpuas hati dengan pencapaian terkini KDEBWM yang bukan sahaja cemerlang dalam industri pengurusan sisa pepejal tetapi termasuk perniagaan kitar semula, penerokaan pembuatan dan plastik sampah mudah terurai.

“Antara lain KDEBWM turut meneroka teknologi bio-diesel berasaskan plastik dan inisiatif baharu pelupusan seperti sisa kepada tenaga (Waste-To-Energy Plant), pembangunan loji sisa (Material Recovery Facility), loji kitar semula dan pengkomposan (Recycling Plant and Composting).

“Saya berharap inisiatif baharu yang disasarkan KDEBWB akan memberi manfaat kepada industri pengurusan sisa pepejal dan pulangan modal kepada Selangor,” katanya.


Pengarang :