Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri sekali) pada Kongres Nasional AMK 2019 di Melaka pada 6 Disember 2019.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

AMK desak kerajaan kurangkan 500,000 pekerja asing

AYER KEROH, 6 DIS: Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan dasar untuk mengurangkan jumlah pekerja asing  sehingga 500,000 orang atau lima peratus dalam tempoh lima tahun seiring dengan hasrat #MalaysiaKerja seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesungguhan usaha meningkatkan peluang pekerjaan tempatan serta penggunaan teknologi maklumat perlu diikat dengan komitmen negara untuk mengurangkan pekerja asing.

“Dasar pentadbiran sebelum ini menghadkan penggajian pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan jumlah pekerja asing yang dibenarkan adalah sekitar 2.3 juta hingga 2.4 juta orang.

“Berdasarkan takrifan ini, jumlah pekerja asing masih terkawal. Malah kita boleh ambil 300,000 hingga 400,000 lagi pekerja asing sedangkan masih ramai rakyat tempatan tidak ada kerja.

“Sebab itu, saya berpandangan, had penggajian pekerja asing wajib dikurangkan daripada 15 peratus berbanding jumlah tenaga kerja kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 dengan tema Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menyatakan Kerajaan Persekutuan akan mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan dengan memperuntukkan RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi skim pekerjaan #MalaysiaKerja.

Akmal Nasrullah berkata, secara ringkasnya jumlah tenaga kerja di Malaysia dianggarkan 15.7 juta orang.

Kadar pengangguran pula sekitar 3.3 peratus, iaitu lebih setengah juta rakyat Malaysia yang menganggur atau masih aktif mencari pekerjaan manakala pengangguran dalam kalangan belia sebanyak 10.9 peratus.

Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula menunjukkan bahawa seramai 1.994 juta orang telah diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara sehingga 31 Ogos 2019.


Pengarang :