AGENSISELANGOR

Tiada had untuk lepasan AMD di Selangor II

SHAH ALAM, 29 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pemain pelapis di bawah kendaliannya termasuk 28 pelatih lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk beraksi bersama pasukan Selangor II.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon sebaliknya berkata, pemilihan akan dibuat berdasarkan keupayaan dan potensi setiap pemain itu sendiri.

“Kita tidak mengamalkan kuota. Seperti yang umum tahu Selangor baru melantik Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner dan dia akan putuskan pemain mana akan diletakkan di Selangor II, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia berdasarkan garis panduan disediakan.

“Menetapkan kuota hanya merugikan dan mengurangkan persaingan. Pemain terbaik akan dapat bermain di Selangor II dan ianya tidak mengikut umur walaupun untuk pemain baru berumur 18 tahun sekalipun sekiranya berjaya menunjukkan permainan yang baik akan dipilih ke Selangor II,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, sistem kenaikan pemain di dalam struktur baharu kini lebih baik berbanding sebelumnya.

Katanya, hal ini kerana pasukan Selangor II yang diwujudkan berperanan sebagai platform untuk mengasah pemain sebelum diserapkan ke pasukan utama di Liga Super.

Katanya, berbanding sebelum ini, ramai pemain Piala Presiden yang melepasi had umur 21 tahun terpaksa dilepaskan berikutan tidak mampu bersaing dengan pemain Liga Super.

“Dalam sistem baharu, pemain Piala Presiden dan Piala Belia ada peluang yang agak baik kerana sebelum ini mereka yang melepasi had umur tiada platform lain kecuali terus ke pasukan Liga Super sedangkan saingan di sana cukup sengit.

“Keadaan ini menyebabkan ramai pemain terpaksa dilepaskan kerana tidak melepasi tahap yang diperlukan untuk bersaing di Liga Super tetapi bila ada ada Selangor II mereka berpeluang mengasah permainan mereka setahun dua lagi di Liga Perdana,” katanya.


Pengarang :