Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tiada lagi ‘khemah kalah perang’ di kawasan MBSA tahun hadapan

SHAH ALAM, 19 DIS: Khemah niaga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diseragam bagi melahirkan imej lebih segar bermula 2020.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata berbanding masa kini, masih terdapat khemah penjaja yang tidak terurus yang boleh diumpama seperti ‘khemah kalah perang’.

“Peringkat permulaan kita wajibkan (seragam) ke atas peniaga bazar Ramadan di 31 lokasi ditetapkan MBSA kemudian kita seragamkan khemah niaga di pasar malam dan pasar pagi.

“Kita tidak mahu ada macam-macam khemah hingga khemah orang ‘kalah perang’ pun ada,” katanya pada sidang media program Kempen Kepenggunaan dan Hari Terbuka Pelesenan Peringkat MMBSA di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Haris berkata peniaga yang membeli khemah di peringkat awal akan menerima potongan 50 peratus, iaitu RM100 berbanding harga sebenar RM200.

Bagaimanapun, katanya MBSA masih mengkaji jenis dan warna khemah yang akan ditetapkan.

“Antara faktor utama yang diambil kira MBSA dalam penguatkuasaan langkah ini adalah kos yang akan ditanggung peniaga

“Selain itu, ia juga mampu mencerminkan imej lebih baik di mata orang ramai termasuk pelancong asing,” katanya.


Pengarang :