Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Tour De Selangor jelajah sembilan daerah bermula 18 Disember

PETALING JAYA, 8 DIS: Penduduk di Selangor berpeluang menyaksikan pelumba basikal profesional handalan dunia berentap pada kejohanan berbasikal Tour De Selangor 2019.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, kejohanan itu akan diadakan pada 18 hingga 22 Disember nanti.

“Kita harap rakyat dapat beri sambutan yang baik di semua sembilan daerah di Selangor.

“Format kita bermula di daerah dan berakhir juga di daerah dan semua daerah merasakan kehadiran Tour De Selangor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini sekurang-kurangnya 120 peserta dari 20 pasukan dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan masing-masing.

Katanya, kejohanan yang dijangka mendapat liputan meluas pelbagai media cetak dan elektronik itu membabitkan jarak kayuhan sejauh 736.5 kilometer.

Terdahulu, Larian Menjunjung Kasih 2019 mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai hampir 10,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Acara itu bertambah bermakna apabila Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyertai larian bagi kategori 10 kilometer (km).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melakukan gimik pelepasan peserta 10km yang di sertai DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain kategori 10km, larian itu turut membabitkan 10 kategori lain, antaranya 5km Orang Kelainan Upaya, 5km pelajar lelaki, 5km pelajar perempuan, 10km lelaki terbuka, 10km wanita terbuka, 21km lelaki terbuka dan 21km wanita terbuka.

Acara larian itu dilepaskan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari seawal jam 6.00 pagi.

 


Pengarang :