AGENDA NASIONAL

Tourism Malaysia sasar 92.8 juta pelancong domestik tahun depan

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Tourism Malaysia dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) melancarkan pakej percutian istimewa bagi tahun 2020 dengan sasaran 92.8 juta pelancong tempatan sepanjang tahun hadapan.

Pelancong domestik ini dijangka membelanjakan sejumlah RM76.9 bilion semasa melancong di dalam negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, jumlah sasaran itu menunjukkan peningkatan 8.9 peratus berbanding anggaran 85.2 juta pelancong domestik tahun ini.

“Kerjasama terbaharu dengan MAS akan membantu mengukuhkan lagi usaha mempromosi pelancongan domestik, terutama bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020),” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Pakej Cuti-cuti Malaysia dengan MHholiday di Sunway Putra Mall, di sini semalam.

“Pelancongan domestik sentiasa menjadi tulang belakang industri pelancongan kita. Jenama Cuti-cuti Malaysia telah berkembang dan menyerap nilai budaya bercuti di kalangan rakyat Malaysia, di samping mengubah pandangan ramai mengenai percutian domestik,” tambahnya.

“Adalah diharapkan bahawa dengan kempen Tahun Melawat Malaysia, bersama dengan sokongan kritikal dari pemain-pemain industri seperti MAS, kita akan berjaya mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa, dan mendapat perolehan RM100 bilion dengan kehadiran mereka,” tambahnya lagi.

Katanya, pakej-pekej itu juga selaras dengan misi Tourism Malaysia untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik di Malaysia.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang daripada tawaran istimewa MHholidays untuk meneroka dan menikmati alam semulajadi, seni dan budaya negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, mulai semalam sehingga 9 Disember, MHholidays akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi hotel dan penerbangan terpilih, di seluruh destinasi domestik MAS bagi perjalanan segera sehingga 31 Mac 2020.

Ahmad Luqman berkata, pakej-pakej yang ditawarkan membenarkan pelancong menikmati penginapan satu malam dengan pembelian pakej penginapan empat malam di hotel-hotel terpilih.

“Kolaborasi ini jelas mempamerkan komitmen MAS bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan dan menawarkan tempat tarikan yang menawan serta unik negara. Sempena pelancaran ini, MHholidays akan menawarkan diskaun hebat bagi tempahan hotel dan tiket-tiket penerbangan, di samping penginapan satu malam percuma di lebih 120 hartanah di Malaysia,” katanya.

Destinasi Penerbangan Malaysia yang sedang dipromosi ketika ini termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Labuan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuantan, Sibu, Bintulu, Miri, Sandakan dan Tawau.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web holidays.malaysiaairlines.com

– BERNAMA


Pengarang :