Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: Jangan biar isu perkauman jadi barah dalam kalangan rakyat

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, nilai-nilai murni perpaduan perlu sentiasa dipupuk dan jangan biarkan isu perkauman menjadi kanser atau barah yang akan memakan perpaduan masyarakat.

Katanya, rakyat di negara ini telah berkongsi kemakmuran bersama, serta mengamalkan kesaksamaan dan keterbukaan, dalam meneruskan arus pembangunan negara.

“Kita kongsi kemakmuran, supaya tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara.

“Kita boleh hidup bersama, tidak perlu katakan Melayu, Cina atau India, kita semua rakyat Malaysia. Ini penting dan perlu diteruskan…inilah masa depan kita bersama,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Pandan, yang dihadiri kira-kira 500 penduduk pelbagai kaum sekitar Pandan Indah.

Dr Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, jika ada jurang dan perbezaan, ia perlu segera diperbetulkan agar setiap rakyat dapat merasai kemakmuran bersama dan meneruskan pembangunan negara.

Katanya, rakyat juga perlu mengamalkan sikap toleransi dan menerima perbezaan antara kaum dan agama serta mengutamakan muhibbah dan perpaduan.

– BERNAMA


Pengarang :