Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: Prasarana sedia tambang percuma untuk OKU Sabtu, Ahad ini

PUTRAJAYA, 3 DIS: Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang pengiring akan menikmati tambang percuma bagi kemudahan perkhidmatan pengangkutan kendalian Prasarana Malaysia Bhd pada Sabtu (7 Disember) dan Ahad (8 Disember) ini sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019.

Mengumumkan perkara itu pada program Santai Bersama OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tambang percuma itu akan melibatkan perkhidmatan MRT, monorel dan LRT.

“Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad OKU mereka untuk pengesahan bagi menikmati kemudahan ini,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya, Hannah Yeoh yang mewakili beliau merasmikan program itu.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja ke negeri di Pantai Timur hari ini bagi melawat mangsa dan pusat pemindahan banjir.

Menurut Dr Wan Azizah, Prasarana telah menyediakan insentif untuk pengguna OKU di mana OKU berdaftar dan mempunyai kad konsesi mendapat potongan tambang 50 peratus apabila menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan yang disediakan Prasarana.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, data sehingga Jun 2019 menunjukkan terdapat 549,554 OKU telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita mengharapkan lebih ramai OKU berdaftar dengan JKM dan seterusnya mengambil bahagian dalam inisiatif atau program yang bersesuaian,” katanya.

Yeoh, yang ditemui pemberita selepas majlis itu, berkata golongan OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 boleh memasuki Muzium Negara dan Balai Seni Negara secara percuma dan menikmati diskaun 20 peratus untuk penginapan di Hotel Seri Malaysia mulai hari ini hingga 8 Disember.

“Golongan OKU juga boleh masuk secara percuma ke Pusat Sains Negara tanpa had masa,” katanya.

Yeoh berkata pada tahun hadapan, kad OKU dijangka dapat dikeluarkan dalam masa yang lebih singkat iaitu 30 hari apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan untuk menambah satu mesin pencetak kad berkenaan di setiap negeri.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, KPWKM telah menubuhkan Special Project Team (SPT) untuk meneliti, menggubal dan menyediakan draf bagi pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 bagi memperkasa golongan itu.

Beliau berkata, SPT dengan 25 anggota itu mewakili pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman berkenaan OKU.

Dr Wan Azizah berkata, SPT itu akan mula bersidang pada Januari 2020 selama enam bulan untuk menghasilkan draf Pindaan Akta OKU yang komprehensif, dengan sasaran untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat adalah pada Disember 2020.

– BERNAMA


Pengarang :