Datuk Abdul Rashid Asari menyampaikan hadiah kepada Shahril Arifin pada program Santai Pentas Belia dan Pertandingan Memancing di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 22 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tuah si kaki pancing

PELABUHAN KLANG, 22 DIS: Seorang kaki pancing tidak menyangka wang tunai RM40,000 menjadi miliknya selepas menjuarai pertandingan memancing pada Karnival Pentas Lokal Tanjung Harapan, di sini.

Shahril Arifin, 43, berkata wang itu akan digunakan untuk membuat persiapan majlis perkahwinannnya yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Sekarang duit mencukupi, mungkin 2020 saya sudah boleh adakan majlis. Duit ini juga akan digunakan untuk membantu keluarga,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Aksi peserta pada program Santai Pentas Belia dan Pertandingan Memancing di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 22 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pekerja swasta dari Pandamaran Klang itu berkata ini adalah kali ketiga dia menyertai pertandingan memancing anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri Selat Klang.

Katanya walaupun acara bermula seawal 8 pagi, namun dia antara peserta yang lewat tiba di lokasi pertandingan.

“Saya sampai 8.30 pagi dan kemudian berjaya mendapat tempat untuk membaling joran pada 9.30 pagi. Lebih kurang 10 kali saya cuba naikkan ikan tetapi tidak berjaya kerana tersangkut di celah batu.

“Namun, pada balingan ke-11 saya berjaya menaikkan ikan kerapu seberat 1.9 kilogram dan tidak menyangka ia membawa rezeki kepada saya,” katanya.

Selain Shahril, dua lagi pemenang ialah Dayang Melati, 38, yang berjaya membawa pulang wang tunai RM8,000, sementara ketiga Sugeng Dwi Saputra, 38, memenangi hadiah RM3,000.

Pertandingan itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.


Pengarang :