Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Tujuh dapur hospital di Selangor terima sijil keselamatan makanan

SHAH ALAM, 27 DIS: Sebanyak tujuh dapur hospital kerajaan di Selangor berjaya menerima pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) sejak 2006.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata 11 dapur pula mendapat pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) manakala satu dapur lagi dalam proses menerima sijil sama.

Katanya kedua-dua sijil itu memberi jaminan keselamatan terhadap penyediaan makanan selain bebas daripada risiko keracunan.

“Pelaksanaan sistem ini berdasarkan piawaian badan antarabangsa yang bertanggungjawab ke atas keselamatan makanan iaitu ‘Codex Alimentarius Commission’.

“Sistem HACCP dan GMP dilaksanakan di dapur hospital secara sinergi bermula daripada pemilihan bahan mentah, penyimpanan, penyediaan, pemprosesan, ‘plating’ sehingga menghidang kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Khalid berkata menerusi pensijilan HACCP pekerja dapur hospital perlu menganalisa punca risiko pencemaran, bahaya mikrobiologi, fizikal dan kimia yang boleh terjadi sepanjang rantaian penyediaan makanan sebelum sebarang aktiviti kawalan dan pemantauan diwujudkan.

“Analisa ini perlu dilaksana berdasarkan rujukan, kajian dan pengetahuan teknikal berkaitan teknologi serta kualiti makanan,” katanya.

Beliau berkata penerimaan kedua-dua sijil itu memberi jaminan tiada pesakit dilapor mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan yang disediakan di hospital terbabit.

“Menerusi pensijilan ini, ia dapat memastikan makanan yang disediakan di dapur hospital terkawal daripada pencemaran dan selamat dimakan.

“Justeru, kita berharap dengan pensijilan HACCP dan GMP di dapur hospital kerajaan, ia akan menjadi ikutan kepada dapur hospital swasta untuk turut mengamalkan sistem sama,” katanya.


Pengarang :