Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) bergambar bersama pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika hadir pada “Malam Teguh Rasa” Minggu Karyaone 22 anjuran FiTA UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, pada 6 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Dr Siti Hasmah serikan program ‘Malam Teguh Rasa’ FiTA

SHAH ALAM, 7 DIS: Program ‘Malam Teguh Rasa’ Minggu KaryaOne22 anjuran pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pada program yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM itu, Dr Siti Hasmah dipertontonkan dengan persembahan pelbagai tarian tradisional dan moden lima negara iaitu Malaysia, China, Mongolia, India dan Indonesia oleh para pelajar FiTA bersama Sekolah Seni Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Dekan FiTA, Datuk Prof Dr Abdul Razak Mohaideen dan Ketua Pegawai Eksekutif Cultural Economy Development Agency (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

Program ‘Malam Teguh Rasa’ dengan tema rentak tari merentasi dunia, adalah majlis yang dianjurkan untuk melatih pelajar terlibat menguruskan sesebuah acara dan akan dinilai oleh pensyarah.

Persembahan itu juga dianjurkan bertujuan mengembalikan aura tarian tradisional dan sebagai pendedahan kepada generasi muda supaya jenis tarian itu tidak lapuk ditelan zaman.

-BERNAMA


Pengarang :