Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Belia Kementerian Sukan dan Belia Turki, Serdao Eravci berbincang sesuatu bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Turki minat jalin kerjasama dalam sukarelawan belia

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Turki berminat untuk mewujudkan lebih banyak program kerjasama dengan Malaysia, terutama yang melibatkan sukarelawan belia.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Belia Kementerian Sukan dan Belia Turki, Serdao Eravci berkata mewujudkan hab sukarela yang melibatkan penyertaan kedua-dua negara boleh menjadi cara untuk membantu umat Islam di seluruh dunia.

Memberi contoh Kesatuan Eropah, beliau berkata Perkhidmatan Sukarela Eropah yang ditubuhkan lebih 10 tahun lepas telah memberi impak kepada kehidupan ribuan golongan muda.

“Mengapa kita tidak mewujudkan perkhidmatan seperti ini untuk negara-negara Islam dan kita juga boleh menghantar belia dari Turki dan Malaysia, juga dari negara-negara Islam lain untuk membantu satu sama lain dalam apa cara yang mungkin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berkongsi pengalaman Turki, Eravci berkata negara itu telah mengadakan sebuah laman web yang membantu organisasi bukan kerajaan mencari sukarelawan dari pelbagai kumpulan yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

Terdahulu, beliau berkongsi pentas bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ahli panel membincangkan topik ‘Pemperkasa Belia dalam Menghadapi Cabaran Global’ pada Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019.

Menyentuh mengenai aspek pemerkasaan belia, beliau berkata terdapat lebih 300 pusat belia dan lebih 30 kem belia di Turki yang menyediakan antara lain, kursus dan latihan kemahiran.

Sementara itu, mengenai pengalaman Malaysia, Syed Saddiq berkata menurunkan umur mengundi daripada 21 hingga 18 adalah antara langkah untuk memperkasakan belia bagi masa depan Malaysia.

“Ada yang mengatakan ia terlalu awal tetapi apa masalahnya jika melakukannya sekarang? Kami tidak mahu golongan muda berada di barisan hadapan yang meminta perubahan tetapi apabila perubahan berlaku, mereka dihalang.

“Bagaimanapun akhirnya suara golongan muda telah didengar apabila buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kami mendapat sokongan dwipartisan untuk pindaan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata golongan muda yang akan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan.

-BERNAMA


Pengarang :