Haniza Mohamed Talha
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KEADILAN: Ubah sistem pilihan raya, pastikan lebih ramai wanita jadi calon

AYER KEROH, 6 DIS: Wanita KEADILAN mencadangkan supaya sistem pilihan raya diubah bagi membolehkan lebih ramai wanita tampil menjadi calon supaya golongan berkenaan mempunyai penambahan jumlah perwakilan.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha berkata, jumlah perwakilan wanita di Malaysia masih rendah kerana hanya lapan daripada 50 negara yang mempunyai perwakilan wanita tertinggi mengamalkan sistem pilihan raya Sistem Wakil Tunggal.

“Untuk menamakan lebih ramai calon wanita dengan efisien, kita memerlukan sistem pilihan raya yang melantik lebih daripada seorang wakil untuk sebuah kawasan seperti Perwakilan Berkadar Dengan Senarai Parti di mana calon dinamakan dalam bentuk senarai dan calon wanita boleh dinamakan secara selang-seli di samping calon lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN 2019 dengan tema Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Haniza berkata, menurut data yang disediakan Interparlimentary Union (IPU), daripada 50 negara mempunyai peratusan Ahli Parlimen wanita yang tertinggi, hanya 39 negara mempunyai komponen perwakilan berkadar.

Dalam ucapan sama Haniza memaklumkan, sebelum ini pihaknya telah membawa cadangan ADUN Tanpa Kawasan bagi Wanita kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Untuk menjayakan agenda ini, Wanita KEADILAN menyeru supaya semua negeri mewujudkan wakil Kerusi Tanpa Kawasan di samping sistem wakil tunggal yang sedia ada dalam DUN.

“Ini akan membolehkan perlaksanaan kuota untuk wanita dan juga golongan-golongan yang kurang perwakilan seperti Orang  Asli/Asal dan Orang Kelainan Upaya.

“(Selain itu) memperkenalkan ‘Ahli Dilantik’  dalam Dewan Undangan Negeri. Ini cuma memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri dan penggubalan undang-undang negeri berkaitan, tanpa pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :