AGENDASUKANKINI

UCL: Liverpool kembali ke Madrid berdepan Atletico

SHAH ALAM, 16 DIS: Juara bertahan, Liverpool diundi bertemu kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Skuad bimbingan Jurgen Klopp akan kembali ke kota Madrid, lokasi sama mereka menjulang trofi Eropah keenam musim lalu selepas menewaskan Tottenham Hotspurs 2-0.

Juara 13 kali, Real Madrid pula akan bertemu juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City sementara Bayern Munich akan bertandang ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea.

Satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs pula diundi bertemu kelab Jerman, RB Leipzig.

Juara Serie A, Juventus pula akan bertemu Lyon di Perancis sementara Juara Ligue 1, Paris Saint-Germain akan bertemu Borussia Dortmund.

FC Barcelona pula akan melayan saingan SSC Napoli dan satu lagi kelab Itali, Atlanta akan menanti kehadiran Valencia.

Pusingan 16 pasukan terbaik akan berlangsung pada Februari 2020 dengan semua pasukan memasang impian ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Istanbul, Turki.

Kali terakhir perlawanan akhir UCL dilangsungkan di Istanbul adalah pada 2005 yang menyaksikan Liverpool menewaskan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kredit Foto: Goal.com


Pengarang :