Majlis Makan Malam Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-14, Universiti Selangor di TAMU Hotel & Suites, Kuala Lumpur pada 2 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

UNISEL sedia jalin kerjasama dengan Turki

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Universiti Selangor (UNISEL) sedia memperluaskan rangkaian kerjasama antara institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri itu dengan Turki.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata langkah proaktif itu bagi membincangkan dan membangunkan bidang akademik termasuk penyelidikan serta teknologi.

“Kita melihat bagaimana Turki membangun sejak puluhan tahun lalu dan apa yang penting hubungan Malaysia dengan Turki terjalin erat sejak beberapa tahun lalu.

“Oleh itu, saya percaya kita boleh berkongsi idea dan matlamat sama dalam membangunkan kedua-dua negara khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Istiadat Konvokesyen UNISEL di Hotel Tamu dan Suites, di sini malam tadi.

Hadir sama Canselornya, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda dan Duta Besar Turki, Dr Merve Safa Kavakci serta Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Dr Mohammad Redzuan berkata, kerjasama itu secara tidak langsung akan menjadi komitmen tinggi kepada pengurusan UNISEL dalam mempertingkatkan segala ilmu untuk pelajar.

“Masa depan penuh cabaran dan perlu diterokai dengan lebih menyeluruh dan kita perlu hubungan baik dengan negara ini.

“Kita harus merancang dari sekarang apakah kolaborasi yang boleh dijalinkan supaya ia boleh memberikan kesan kepada UNISEL dan Turki.

“Pertukaran kepakaran dan pengalaman tenaga akademik dalam pelbagai bidang berkaitan akan memberikan idea baharu, sekali gus membangunkan UNISEL setanding universiti tempatan di negara ini mahupun luar negara,” katanya.

Sabtu lalu, Dr Merve Safa Kavakci Puan menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Sosial sempena Istiadat Konvokesyen UNISEL ke-14.

Dr Kavakci merupakan tokoh antarabangsa yang amat dikenali dan antara 500 muslim paling berpengaruh di dunia.


Pengarang :