Penyelidik UPM menunjukkan produk Thohira Synbiotics yang mampu membantu penternak ikan dan udang di negara ini memperoleh keuntungan lebih baik. Foto Ihsan UPM.
AGENSISELANGOR

UPM cipta produk cepatkan tumbesaran ikan, udang

SHAH ALAM, 12 DIS: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk bagi mempercepatkan tumbesaran ikan dan udang, selain melindungi ternakan itu daripada ancaman penyakit.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof Dr Shuhaimi Mustafa berkata, produk Thohira Synbiotics adalah gabungan khas antara campuran bakteria probiotik dan prebiotik yang dirumus khas sebagai makanan untuk spesies akuatik.

“Thohira Synbiotics terdiri daripada mikroorganisma yang berkebolehan menghasilkan pelbagai enzim, protein dan metabolit.

“Apabila dicampur dalam makanan ternakan, ia membantu memudahkan pencernaan serta mempercepat tumbesaran ternakan. Tetapi apabila dimasukkan ke dalam kolam akualkultur pula, ia mampu mengurangkan sisa toksin ammonia, nitrit dan nitrat.

“Oleh itu, air tidak perlu kerap ditukar dan pada masa yang sama biosekuriti akan terjaga,” katanya melalui kenyataan di laman rasmi UPM.

Penyelidikan yang bermula sejak Januari 2015 dan berakhir Mac 2017 itu turut melibatkan Dr Muhamad Akhmal Hakim Roslan, Prof Dr Yunus Abd Shukor dan Muhamad Amin Jahari.

Thohira Synbiotics pernah memenangi pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019.

Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, beliau dan kumpulan penyelidiknya membangunkan produk itu kerana menyedari penternak kurang memperoleh keuntungan.

Katanya, malah ada dalam kalangan mereka yang mengalami kerugian akibat kos ternakan yang tinggi dan ancaman pelbagai penyakit.

“Kos ternakan menjadi tinggi berikutan kadar tukaran makanan tidak efisien menyebabkan dedak yang diberi kepada haiwan ternakan bertukar menjadi tinja seterusnya merosakkan kualiti air.

“Ia mengakibatkan ternakan tidak membesar dengan baik, manakala survival ternakan menurun,” katanya.


Pengarang :