AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha bawa pulang Jho Low hanya `bertepuk sebelah tangan’ – KPN

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Berbaki lapan hari lagi sebelum berakhirnya tahun 2019, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador tetap memegang janjinya untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya namun kerjasama dengan pihak berkuasa negara luar seolah-olah tidak ikhlas meskipun ada perjanjian ekstradisi dengan negara terlibat, dan beliau mengibaratkan ia seperti ‘bertepuk sebelah tangan’.

“Usaha dan kerjasama antara Malaysia dan negara terlibat sepatutnya mempunyai semangat membalas budi, namun saya lihat pihak yang satu lagi tidak ikhlas dalam membantu kami mendapatkan Jho Low dan ini benar-benar mengecewakan saya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan usaha mencari Jho Low.

Abdul Hamid bagaimanapun enggan mendedahkan nama negara yang berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid menegaskan beliau akan terus berusaha untuk membawa Jho Low pulang sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat perisikan, kedudukan dan lokasi persembunyian Jho Low sudah diketahui, namun kerjasama dan bantuan pihak berkuasa negara terlibat penting untuk memudahkan proses membawa pulang ahli perniagaan itu seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Abdul Hamid berkata, siasatan terkini pihaknya menunjukkan Jho Low berusaha membeli hartanah di beberapa negara lain menggunakan wang yang dirompak di negara ini, selepas usahanya membeli hartanah di Cyprus berjaya dibongkar.

Pada 25 September lepas, Abdul Hamid memberi bayangan bahawa Jho Low yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan kerugian berbilion ringgit, akan dibawa pulang hujung tahun ini.

Beliau berkata, Jho Low dilindungi pihak tertentu di sebuah negara, menyebabkan dia sukar diekstradisi.

– BERNAMA


Pengarang :