AGENDANASIONAL

Usaha siasat jenayah perang di Palestin lama tertangguh

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sebarang usaha​​​ untuk menyiasat dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin sudah lama tertangguh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata Israel seharusnya berdepan pengadilan berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Israel harus dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana membunuh orang, mencuri wilayah orang lain, membina penempatan di tanah orang lain. Semua ini adalah jenayah, ” katanya pada sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Kemuncak KL 2019 di sini hari ini.

Perdana menteri ditanya mengenai laporan bahawa ICC bersedia untuk menyiasat jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah Palestin.

Dr Mahathir, Pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata Israel telah menahan kapal misi kemanusiaan yang disertai warga Malaysia di perairan antarabangsa.

“Tak boleh buat begitu dalam kawasan perairan antarabangsa. Jika berada dalam kawasan perairan mereka, ya, mereka boleh ambil tindakan, tapi kita di kawasan perairan antarabangsa.

“Mereka datang dengan bot-bot bersenjata, mereka tahan kapal kita, bawa ke pelabuhan mereka, dan sampai sekarang kita tidak tahu sama ada bantuan buat Gaza sampai atau tidak,” katanya dan menambah tindakan Israel itu turut mengakibatkan kematian.

“Tapi seluruh dunia bukan sahaja menutup sebelah mata, mereka menutup kedua-dua mata, tutup mulut mereka, dan telinga mereka juga,” kata Dr Mahathir yang memang terkenal dengan suara lantang mengecam keganasan Israel.

Penderitaan rakyat Palestin diketengahkan di Sidang Kemuncak KL yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Menjawab satu soalan berhubung sekatan, Dr Mahathir berkata Malaysia secara umumnya tidak percaya dengan tindakan sedemikian kerana ia ​​​​turut memberi kesan kepada negara lain, selain daripada negara yang disasarkan.

Mengambil contoh sekatan yang dikenakan terhadap Iran, Dr Mahathir berkata Malaysia juga menerima kesan daripada tindakan itu kerana Iran adalah rakan dagang yang besar kepada negara.

“Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh sebuah negara yang berkuasa. Saya ingin mengenakan sekatan terhadap (Presiden Amerika) Trump, tapi tak boleh, sebab saya insan kerdil (tidak berkuasa) tetapi dia boleh kenakan sekatan terhadap semua negara, dan kita yang menderita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :