Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wang daripada akaun UMNO Sabah kini milik kerajaan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Wang RM254,112.24 yang dibekukan daripada akaun bank milik Badan Perhubungan UMNO Sabah (UMNO Sabah) yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Keseluruhan jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak daripada badan tersebut ialah sebanyak RM1,254,112.24

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah bahawa UMNO Sabah selaku responden menyatakan persetujuan penyelesaian melalui representasi bertarikh 9 Disember lepas.

“Representasi responden telah diterima pendakwaan dan pihak-pihak bersetuju dengan penyelesaian bahawa wang berjumlah RM254,112.24 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

“Manakala baki wang RM1 juta tersebut dikembalikan kepada pihak responden,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan di sini, hari ini.

Badan Perhubungan UMNO Sabah yang diwakili peguam Harcharanjit Singh mengesahkan perkara tersebut.

“Saya memohon mahkamah merekodkan kehakiman persetujuan tanpa pengakuan salah daripada responden serta wang RM1juta itu dikembalikan kepada pihak kami,” katanya.

Mohamed Zaini kemudian merekodkan penghakiman persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

“Dokumen persetujuan seperti yang tertera dalam draf dokumen persetujuan bertarikh hari ini (18 Disember) adalah direkodkan dengan syarat tambahan tiada pengakuan salah daripada pihak responden,” katanya.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

-BERNAMA


Pengarang :