Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN 2019 bertema ‘Kempimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua’ Terus Mara di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita KEADILAN tuntut gaji sama rata dengan lelaki

AYER KEROH, 6 DIS: Wanita KEADILAN menuntut supaya Kerajaan Persekutuan memastikan golongan itu memperoleh gaji sama rata dengan lelaki dan menghentikan semua bentuk diskriminasi gender.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha berkata, jurang pendapatan antara gender perlu dikurangkan kerana wanita juga memerlukan pendapatan tetap untuk perbelanjaan harian selain menyediakan sistem sokongan seperti tempat penjagaan kanak-kanak dan tempat menyusu.

“Apa yang kita perlukan adalah untuk menuntut gaji sama rata dengan kaum lelaki di medan pekerjaan.

“Oleh itu, Wanita KEADILAN menyeru Kerajaan Pusat untuk menghentikan diskriminasi gender dari segi pendapatan untuk kerja yang sama bagi merapatkan jurang pendapatan antara kaum lelaki dan wanita.

“Bagi mendorong lebih ramai wanita menceburi bidang pekerjaan, Wanita KEADILAN menyokong supaya sektor awam dan swasta menyediakan sistem sokongan kepada wanita seperti tempat penjagaan kanak-kanak, tempat menyusu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN 2019 dengan tema ‘Kempimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua’ Terus Mara di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini kadar penyertaan tenaga kerja wanita hanya 55 peratus dan belum mencapai sasaran 60 peratus berbanding 80 peratus lelaki yang bekerja seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2020.

Dalam ucapan sama, Haniza turut meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses penggubalan Akta Gangguan Seksual kerana isu tersebut menjadi antara cabaran wanita dalam sektor pekerjaan.

“Sejurus memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan telah giat berusaha untuk meluluskan Akta Gangguan Seksual.

“Pada masa ini kita tidak ada undang-undang khusus bagi gangguan seksual tetapi kita ada kod etika dan peraturan atau garis panduan dan kita masih memerlukan undang-undang khusus untuk menangani gangguan seksual,” katanya.


Pengarang :