Datuk Roslan Ab Rahman bergambar bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2019 Peringkat Selangor dengan Kerjasama PKNS yang berlangsung di Bangunan PKNS, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas bersyukur tunggakan sewa rumah dilunas TNB

SHAH ALAM, 13 DIS: Orang Kelainan Upaya (OKU), K.Karuppiah sangat bersyukur apabila tunggakan sewa rumah RM21,000 dilunaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR).

Warga emas berusia 54 tahun itu berkata, dalam tempoh mempunyai tunggakan sewa rumah itu, dia tidak pernah senang hati menetap di Flat Seri Perantau Port Klang itu.

K.Karuppiah

“Saya tiada kerja tetap kerana sebelah tangan kudung selepas dilanggar kereta api ketika berusia 10 tahun.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh dan kerja itu pun tidak tetap, jadi memang susah hendak bayar duit sewa rumah yang sudah saya diami 16 tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Karuppiah berkata, hari ini dia berasa lega kerana hutang sewa rumahnya dilunaskan oleh TNB.

Sementara, itu Zainon Nordin, 63, juga melahirkan perasaan sama apabila TNB sudi membayar tunggakan sewa rumahnya berjumlah RM21,000 menerusi Program Baiti Jannati (PBJ).

Zainon Nordin

“Suami saya sudah meninggal dunia dan sekarang saya menetap bersama tiga anak saya di rumah ini,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang sapu sampah.

Kedua-dua penerima bantuan itu ditemui ketika Majlis Penyerahan PBJ dan PMR peringkat Selangor di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.

Bantuan PMR adalah membabitkan golongan miskin bukan Melayu manakala bantuan PBJ untuk golongan Islam.

Hadir sama Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek dan Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Pada program berkenaan, seramai enam keluarga menerima bantuan PBJ dan satu menerusi PMR, kesemua penghuni Flat Seri Perantau Port Klang itu dibantu TNB melunaskan baki pembayaran perumahan yang keseluruhannya berjumlah RM226,925.55.


Pengarang :