AGENDANASIONAL

Westports pecah rekod kendali 10 juta TEU kontena

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Westports Holdings Bhd (Westports) hari ini menjadi satu-satunya terminal di Malaysia mengendalikan 10 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena dalam tempoh setahun.

“Paras 10 juta TEU itu dicapai selepas pengendalian kontena syarikat itu naik kira-kira 14 peratus kepada 9.89 juta TEU dalam tempoh 11 bulan antara Januari dan November 2019,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada asas kumulatif dalam tempoh 23 tahun lepas sejak operasi kontena bermula pada 1996, Westports mengendalikan lebih 112 juta TEU kontena.

Westports berkata, kontena ke-10 juta dimuatkan dalam kapal menggunakan perkhidmatan WAX4 Asia-West Africa, pada jam 10.18 pagi hari ini.

“Kapal dalam perkhidmatan ini menjadikan Westports sebagai pelabuhan persinggahan dan dalam perjalanan ke negara-negara Timur Jauh, termasuk China,” katanya.

Katanya, sokongan kuat daripada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui dasar yang proaktif dan pemasaran peringkat tinggi pada 2019 turut menyumbang kepada pertumbuhan kukuh Westports dan Pelabuhan Klang setakat ini pada 2019.

PKA menjangka terminal kontena gabungannya, termasuk Westports, dapat mengendalikan 13.25 juta TEU pada tahun ini dan sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam Liga Kontena Dunia bagi 2019.

Dengan cabaran lebih besar dijangka pada 2020, PKA berkata, terminalnya, termasuk Westports akan terus berusaha untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan pihak berkepentingan.

Perbadanan berkanun dan pengawal selia itu menekankan usaha sedemikian akan menyumbang ke arah menjadikan pelabuhan utama Malaysia, Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim serantau dan hab logistik kargo.

– BERNAMA


Pengarang :