Selangorkini
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yayasan Akalbudi guna RM360,000 untuk tujuan politik

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM360,000 digunakan bagi kerja pendaftaran pengundi dengan kerjasama UMNO pada Ogos 2015 dan November 2016.

Pemilik bersama TS Consultancy & Resources, Jasni Majid, 65, berkata syarikatnya menerima dana dari pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebanyak dua kali, pada 20 Ogos 2015 berjumlah RM100,000 dan 25 November 2016 berjumlah RM260,000.

Katanya, dana tersebut diterimanya melalui dua keping cek Affin Bank Berhad atas nama Yayasan Akalbudi kepada syarikatnya.

Jasni berkata pihak pejabat TPM telah memberikan dana kepada syarikatnya, untuk membantu menjalankan kerja pendaftaran pengundi kerana Unit Khas (Pengurusan Strategik) berada di bawah pejabat itu.

Katanya tujuan penubuhan syarikat itu (TS Consultancy & Resources) adalah untuk membantu pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti UMNO.

“Pendaftaran pengundi dilakukan di kawasan terpilih, iaitu tertumpu kepada kawasan yang dimenangi tipis oleh Parti Barisan Nasional pada pilihan raya umum sebelumnya, dan diutamakan kepada pengundi berbangsa Melayu,” kata saksi pendakwaan ke-16 itu.

Jasni berkata demikian semasa membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali, pada hari ke-10 perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Sebelum ini saksi pendakwaan pertama, Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pinny Asnan memberitahu mahkamah bahawa, objektif penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk menerima dan mentadbir dana, bagi membasmi kemiskinan berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

Katanya, berdasarkan ‘Memorandum and Articles of Association’ Yayasan Akalbudi yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid pada 7 Mac 1997, ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat berhad bagi tujuan khairat.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, Jasni bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, jenis perniagaan TS Consultancy & Resources adalah perkhidmatan latihan dan kursus motivasi.

Saksi itu juga bersetuju tiada perkataan ‘pendaftaran pengundi’ pada lesen tersebut.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-17, Sabri Said, 48, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai operasi di Unit Khas (Pengurusan Strategik), di pejabat TPM sejak April 2014 hingga Disember 2016 mengesahkan TS Consultancy & Resources, telah menerima dana (cek) dari Ahmad Zahid melalui Yayasan Akalbudi sebanyak dua kali, pada tahun 2015 dan 2016 berjumlah RM360,000.

“Pihak pejabat TPM ketika itu membantu memberikan dana kepada syarikat tersebut, bagi menjalankan tugasan pendaftaran pengundi kerana Unit Khas (Pengurusan Strategik) berada di bawah pejabat TPM,” katanya ketika membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Mohd Afif.

Kepada soalan tambahan, Sabri menjelaskan penubuhan TS Consultancy & Resources adalah untuk melaksanakan tugasan Unit Khas (Pengurusan Strategik), kerana unit tersebut memerlukan tenaga kerja tambahan bagi membuat kerja lapangan, dalam melaksana pengurusan pendaftaran pengundi.

“Ketika itu, unit khas hanya mempunyai satu pegawai dan satu kerani yang diketuai Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar,” katanya yang kini merupakan pegawai penerangan di Jabatan Penerangan Pulau Pinang.

Mohd Afif : Apakah bidang tugas Unit Khas (Pengurusan Strategik) di pejabat TPM?

Sabri : Semasa penubuhan unit ini ia telah diberi mandat, untuk melaksana tugas-tugas berkaitan pendaftaran pengundi, seterusnya melihat dari aspek persempadanan dan kawasan pilihan raya, sama ada Parlimen atau DUN serta memantau pilihan raya.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :