Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah), yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Zahid, isteri miliki 18 kenderaan mewah

KUALA LUMPUR, 3 DIS: BMW 320i (A), AUDI Q7 dan Mercedes Benz CLS 350 merupakan antara 18 kenderaan mewah yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis yang kebanyakannya menggunakan nombor pendaftaran 38.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pasangan itu memiliki 20 kenderaan keseluruhannya termasuk lapan kereta lain seperti tiga Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Lexus, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey dan Chrysler Jeep Wrangler.

Mereka juga memiliki dua motosikal jenis Harley Davidson, dua Ducati, tiga BMW, satu Kawasaki dan satu Honda C100.

Perkara itu didedahkan oleh Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zaharudin Zainuddin, 48, ketika merujuk kepada dokumen maklumat kesemua kenderaan milik Ahmad Zahid dan isterinya yang membayar cukai jalan sebanyak RM35,726.80 setahun.

“Saya merujuk kepada dokumen maklumat kenderaan SAB 38 M (Lexus) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM5,900.80.

“Saya merujuk kepada dokumen maklumat kenderaan SAB 38 A (Toyota Land Cruiser) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM4,366.80,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu.

Saksi itu juga membacakan satu persatu maklumat terperinci kenderaan dan insurans 19 kenderaan yang didaftarkan atas nama Ahmad Zahid dan isterinya manakala sebuah kenderaan lagi didaftarkan atas nama Datuk Juhari Janan yang ketika itu pegawai khas kepada Ahmad Zahid.

Zaharudin berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt pada hari keenam perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Semasa ditanya Lee, adakah kenderaan-kenderaan yang dirujuk milik persendirian, Zaharudin menjawab: “Ya”.

Lee : Bagi dokuman maklumat terperinci kenderaan dan insurans yang kamu rujuk, adakah ia maklumat yang sudah dikemas kini sehingga hari siasatan?

Zaharudin: Ya.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :