AGENDASUKANKINI

Zaqhwan enggan letak sasaran di EWC Sepang

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa, Md Zaqhwan Zaidi, tidak mahu meletakkan sebarang sasaran pada Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) Sepang 8-Hours 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini.

Pelumba berasal dari Selangor itu berkata dia tidak boleh terlalu yakin kerana ini kali pertama SIC menganjurkan perlumbaan endurance seumpama itu.

Katanya apa yang adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan sempurna.

“Buat masa ini, saya memang sudah bersedia untuk mengharungi perlumbaan endurance Sepang 8-Hours tetapi pada masa sama perlu lebih waspada kerana suasananya pasti berbeza.

“Memang saya mempunyai pengalaman bersaing pada perlumbaan Suzuka 8-Hours tetapi saya tidak boleh buat jangkaan situasi di Sepang nanti. Seperti yang kita maklum, ini merupakan kali pertama perlumbaan endurance dilangsungkan di Sepang,” katanya dalam kenyataan.

Zaqhwan berkata pada masa ini dia berharap jentera Honda CBR1000 RR yang bakal ditunggangnya akan terus berada dalam keadaan stabil serta mendapat pelarasan terbaik.

“Pada perlumbaan endurance seperti ini kemampuan jentera amat penting dan saya yakin kru pasukan sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Katanya daripada segi kecergasan, dia berada pada tahap terbaik kerana aspek berkenaan amat dituntut untuk mengharungi perlumbaan endurance.

“Saya akan mempergunakan sepenuhnya pengalaman beraksi di Suzuka 8-Hours untuk menampilkan yang terbaik di Sepang nanti dan kalau boleh, saya mahu menamatkan perlumbaan itu nanti dengan catatan masa yang lebih baik.

“Pada aksi di Sepang minggu ini, saya akan bergandingan dengan Andi Farid Idzihar dari Indonesia dan Somkiat Chantra dari Thailand.

“Kami sudah serasi mengharungi perlumbaan endurance seperti ini dan yakin dapat membentuk gandingan mantap dalam usaha untuk menghadiahkan sesuatu buat pasukan,” katanya.

Ditanya sama ada aksi di Sepang akan memberi kelebihan kepada mereka, Zaqhwan berkata kesemua pasukan serta pelumba memiliki kelebihan masing-masing.

Zaqhwan antara pelumba negara paling berpngalaman beraksi dalam perlumbaan endurance dan sudah beberapa kali membuat kemunculan di Suzuka 8-Hours.

Zaqhwan yang turut menggalas cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) juga memiliki rekod cemerlang, malah pernah bergelar juara keseluruhan kelas SS600cc pada edisi 2014 dan 2016.

Musim ini, dia menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan dalam kelas ASB1000cc yang mula diperkenalkan tahun ini.


Pengarang :