Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Zuraida, Azmin rela dipecat demi pertahankan idealisme perjuangan KEADILAN

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali rela dipecat demi mempertahankan idealisme perjuangan parti terbabit.

Zuraida berkata, dirinya bersedia dipecat susulan tindakan lantangnya mengkritik Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.

“Kalau kami dipecat, untuk kita baiki, saya dan Azmin sudah bersedia. Kami rela dikorbankan demi KEADILAN. Kami nak bawa ke landasan yang betul.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama perwakilan pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jika inilah presiden (Anwar) nampak parti hebat dan gah, walaupun ada 50 ahli parlimen, tetapi pengurusan caca marba. Siapa yang harus dipersalahkan?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance, di sini, malam tadi.

Turut hadir, tiga Naib Presiden KEADILAN iaitu Ali Biju dan Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Angkatan Muda(AMK), Muhammad Hilman Idham; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shaari dan R Sivarasa.

Pada masa sama, Zuraida menggesa supaya Anwar segera menyelesaikan krisis yang sedang berlaku dalam parti secara bijaksana dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, sebagai anggota parti, beliau tiada kepentingan malahan sudah melaksanakan tanggungjawab untuk menegur pemimpin.

“Saya tahu ucapan kita pada malam ini dirakam. Oleh itu, saya mahu presiden (Anwar) dengar dan lihat supaya dia dapat berfikir menggunakan kewarasan untuk bawa parti ini ke landasan yang betul semula.

“Malah, sebagai seorang pemimpin kita dipertanggungjawab di akhirat untuk menjawab dan saya sudah jalankan tugas saya untuk menegur pemimpin saya kerana tidak mahu disoal di sana (akhirat) nanti. Biarlah kita mati dalam kebaikan dan bukan keburukan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, majlis malam ini adalah sebagai permulaan dan ia akan diteruskan pada siri jelajah di seluruh negara dengan dipimpin oleh Mohamed Azmin.


Pengarang :