Selangorkini
AGENDA NASIONAL

114 ditahan ketika upacara angkat sumpah geng kongsi gelap

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Seramai 114 individu ditahan polis semasa menyertai upacara angkat sumpah ahli kumpulan kongsi gelap Double Seven pada Sabtu lalu.

Perkara berkenaan disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata ketua kumpulan kongsi gelap berkenaan turut ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman ke atas sebuah premis di Jalan Genting Klang, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa bilah pedang samurai dan barangan lain yang digunakan dalam upacara angkat sumpah untuk menyertai kumpulan kongsi gelap berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 107 orang merupakan lelaki selain seorang wanita warga tempatan sementara lima lelaki serta seorang wanita lagi merupakan warga Singapura,” katanya.

Menurut Huzir, kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata kesemua suspek sedang diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :