Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

16,800 dos vaksin influenza A tiba hari ini

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 16,800 dos vaksin influenza A tiba di Malaysia hari ini, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan berkata sekitar 100,000 dos lagi dijangka diterima pada bulan ini dengan 15,000 dos pada 20 Januari manakala 67,000 dos pada 27 Januari.

Katanya, tambahan 100,000 dos lagi akan sampai dalam tempoh dua atau tiga minggu dari sekarang.

“Saya menggesa penyedia penjagaan menyediakan vaksin pada harga yang berpatutan,” katanya menerusi Twitter @DrDzulhari hari ini tanpa memberi butiran terperinci.

Sebelum ini, sejuta tablet bekalan alternatif kepada vaksin influenza A diluluskan kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada 100,000 pesakit.

Virus influenza adalah penyakit yang berbahaya kerana mudah merebak melalui batuk dan bersin serta boleh membawa maut jika jangkitan merebak ke paru-paru.

Jangkitan virus itu juga terlalu cepat terutama kepada golongan berisiko iaitu mereka yang menghidap penyakit kronik seperti pesakit kanser dan kencing manis, warga emas berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dan wanita hamil.


Pengarang :