Gobind Singh Deo bersama para pegawai pengamal media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Penubuhan Majlis Media Malaysia di kementeriannya pada 16 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

17 wakil dilantik ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melantik 17 wakil daripada pelbagai organisasi media sebagai ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia (MMC), semalam.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata MMC dianggotai tokoh media cetak, elektronik dan dalam talian, organisasi wartawan media tempatan serta antarabangsa, kesatuan wartawan juga wakil badan bukan kerajaan.

“Jawatankuasa itu berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember tahun lalu yang mempersetujui cadangan penubuhan sebuah majlis media sebagai sebuah badan kawal selia kendiri (self-regulatory body) bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

“Keputusan ini satu anjakan besar kerana usahanya mula bergerak setelah lama ditangguhkan dan dibangkitkan buat kali pertama sejak 45 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata jawatankuasa terbabit mempunyai dua bulan untuk membincang dan meneliti penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan serta fungsi MMC.

Katanya, majlis media itu akan memperkasa dan memastikan kebebasan serta hak pengamal media dipelihara selain memastikan etika media yang lebih bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah badan yang akan mengawal selia industri media, MMC boleh membuat pemantauan semasa berdasarkan undang-undang serta bertindak berhubung aduan orang ramai mengenai media,” katanya.

Ahli jawatankuasa yang dilantik:

1) Datuk Dr Chamil Wariya (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)
2) Datuk Yong Soo Heong (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI)
3) Ding Jo Ann (media monitor Centre For Independent Journalism)
4) Datuk Ahiruddin Attan (Presiden National Press Club)
5) V. Gayathry (pensyarah Nottingham University)
6) Kuik Cheng Kang (wakil Editor’s Association of Chinese Medium Malaysia)
7) Tehmina Kaoosji (ahli pengasas Journalists Alliance)
8) Radzi Razak (jurucakap Gerakan Media Merdeka)
9) Ashwad Ismail (wakil Astro Awani)
10) Rozaid A. Rahman (wakil The Star)
11) Jahabar Sadiq ( wakil The Malaysian Insight)
12) Wakil dari Sabah
13) Wakil dari Sarawak
14) Wakil dari National Union of Journalists
15) Wakil dari Foreign Correspondents Club Malaysia
16) National Union of Journalists (NUJ)
17) Foregin Correspondents Club Malaysia (FCCM)


Pengarang :