AGENDANASIONAL

2.6 juta sudah mohon RM30 e-Tunai Rakyat – Guan Eng

IPOH, 20 JAN: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh permohonon program e-Tunai Rakyat yang akan berakhir pada 9 Mac depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak 2.6 juta permohonan bagi menuntut wang percuma RM30 menerusi e-Tunai Rakyat diterima sejak program itu diumumkan pada Selasa lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, 2 juta permohonan telah menerima pembayaran insentif berkenaan.

“Sebanyak RM59 juta telah dibelanjakan menjadikan lebih 10 peratus daripada RM450 juta yang diperuntukkan untuk program berkenaan telah dibelanjakan,” katanya selepas hadir pada majlis pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di pasar raya Aeon Kinta City di sini semalam.

Beliau berkata program ini adalah usaha untuk menggalakkan pembayaran digital dalam kalangan rakyat dan pada masa sama menggalakkan peniaga dan pedagang untuk berdaftar dan seterusnya menjual secara dalam talian.

“Usaha ini juga adalah untuk menuju masyarakat tanpa tunai dan sambutan serta respons yang diterima begitu baik dari rakyat Malaysia dan ia di luar jangkaan,” katanya.

Guan Eng berkata rakyat Malaysia yang telah menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go perlu menggunakannya sebelum 14 Mac depan.

“Jadi semua termasuk peniaga diminta untuk mendaftarkan diri sekali gus merebut peluang ini sama ada untuk menjual atau membeli secara digital atau dalam talian,” katanya.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta diumumkan pada Selasa lepas bagi rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menuntut wang percuma RM30 diberikan kerajaan.

Terdahulu, Guan Eng meluang masa lima minit melawat ‘village foodcourt’ di pasar raya berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :