AGENSISELANGOR

20 pelajar, seorang guru dijangkiti influenza A

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 21 kes influenza A dikesan di lapan sekolah seluruh Selangor sejak 1 Januari sehingga hari ini, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor.

Tiada sekolah ditutup setakat ini, Dr Mahanom Mat Sam berkata 20 pelajar, empat di Petaling Utama dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Langat, Klang serta Petaling Perdana dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata seorang guru wanita di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat turut dijangkiti.

“10 murid yang terkena jangkitan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya membabitkan tujuh murid lelaki (Tahun Satu hingga Tahun Lima) dan tiga murid perempuan (prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Lima).

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara membabitkan dua murid (kedua-dua lelaki Tingkatan Dua), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Way (murid lelaki Cina adik-beradik Tahun Satu dan Tahun Lima),” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, kata Mahanom, seorang murid lelaki Tahun Dua di SJKC Sungai Buloh turut terkena wabak itu dan diikuti seorang lagi murid lelaki Tingkatan Tiga dari SMK Sultan Abdul Samad.

“Seorang lagi mangsa di SK Seksyen 20 membabitkan murid Tahun Tiga dikesan mengalami demam panas sebelum disahkan dijangkiti wabak sama, SJKC Puay Chai 2 pula melibatkan dua murid iaitu lelaki Tahun Dua serta murid perempuan Tahun Empat,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sedang meneliti perkembangan terkini wabak influenza A di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

Sehingga kini, KPM menerima laporan penutupan sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa negeri lain susulan beberapa murid disahkan positif dijangkiti wabak influenza A.


Pengarang :