AGENDANASIONAL

200 peserta MFLS jalani latihan di luar negara mulai Februari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Seramai 200 peserta program Malaysia Future Leaders School Peringkat Ketiga (MFLS Tier 3) akan menjalani latihan kepimpinan di luar negara bermula Februari.

Proses pemilihan peserta yang berlangsung di Akademi Kenegaraan di sini hari ini mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, calon-calon dilihat mempunyai kredibiliti dan ciri ketokohan yang tinggi serta mempunyai pengetahuan mengenai isu semasa.

“Saya agak kagum dengan pengetahuan am mereka termasuk apabila saya mengajukan soalan berkenaan hubungan diplomatik Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita. Proses pemilihan sehingga Rabu berlangsung di seluruh negara.

Calon-calon terdiri daripada mereka yang disenarai pendek daripada kira-kira 27,000 peserta MFLS Tier 2 sebelum ini.

Menteri itu berkata peserta program MFLS Tier 3 akan turut mendapat pendedahan tentang selok-belok kepimpinan daripada tokoh seperti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri Kabinet dan pemimpin korporat.

Syed Saddiq turut memberitahu bahawa peserta MFLS Tier 3 akan dihantar menjalani program MFLS di negara ASEAN dan Jepun serta beberapa negara lain yang akan ditentukan.

“Matlamat kita ialah kita nak pastikan mereka menjadi pemimpin masa hadapan negara,” kata beliau.

MFLS merupakan program menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran yang berimpak tinggi.

MFLS Tier 1 merangkumi saringan di peringkat sekolah bagi memilih peserta yang layak ke peringkat Tier 2 bagi mengikuti program MFLS selama 10 hari di pusat-pusat latihan terpilih.

MFLS Tier 3 pula menyaksikan pelaksanaan konsep pengantarabangsaan belia yang berlangsung selama dua bulan.

-BERNAMA


Pengarang :