PENDAPATRENCANA

2020: Dekad baharu Malaysia-Indonesia menuju negara maju

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 1 JAN: Tahun 2020 membuka tirai, menjanjikan hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dan Indonesia, yang sama-sama berwawasan mencapai negara maju pada 2030 dan 2045.

Keakraban kedua-dua pemimpin utama negara, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Indonesia Joko Widodo, pastinya menjadi landasan kukuh dalam perencanaan kepentingan bersama kedua-dua negara untuk dekad baharu ini.

Rancangan Indonesia yang mahu memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan juga dilihat akan memberi limpahan kemakmuran kepada Sabah dan Sarawak.

Pada 26 Ogos 2019, Jokowi mengumumkan ibu kota baharu Indonesia yang akan bertempat di Kalimantan, atau secara tepatnya di Penajam Paser Utara dan Kutai Kertanegara, melibatkan kawasan seluas 180 hektar.

Kerja-kerja pembangunan ibu kota baharu itu dijadualkan bermula tahun ini (2020) dan siap pada 2024.

Ibu kota baharu Indonesia itu perlu dilihat sebagai peluang besar kepada Malaysia terutamanya Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama berkongsi peluang- peluang ekonomi baharu.

Mengenai persempadanan, Malaysia dan Indonesia juga bakal memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) pada tahun 2020 berhubung perkara berkaitan keselamatan, kawalan dan kerjasama menangani isu- isu jenayah sempadan.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jokowi bersalaman ketika menerima kunjungan hormat Presiden Indonesia itu ke Malaysia. Foto AFP

Dalam lawatan kerja Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia pada Disember 2019, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri Indonesia, bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

Antara persetujuan yang dicapai adalah berkaitan penggunaan teknologi seperti dron bagi mengawal sempadan Malaysia dan Indonesia di kawasan sempadan Kalimantan dan Sabah serta Sarawak, menangani isu kemasukan pendatang tanpa izin dan bersetuju untuk mewujudkan kawasan pembangunan bersama industri perikanan di kawasan pertindihan perairan kedua-dua negara.

Pada dasarnya, hubungan dua hala kedua-dua negara berada di tahap terbaik, dengan hubungan kepimpinan utama yang akrab antara Dr Mahathir dan Jokowi.

Dr Mahathir menjadikan Indonesia sebagai negara pertama ASEAN yang dilawatinya selepas menang pada Pilihan Raya Umum 2018, dan Jokowi juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama dikunjunginya selepas menang Pilihan Raya Presiden 2019.

Namun umpama peribahasa “sedangkan lidah lagi tergigit”, beberapa isu turut menjadi “trending” utama di media sosial seperti isu jerebu dan isu pergaduhan bola sepak penyokong kedua- dua negara pada perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Berkenaan jerebu akibat kebakaran hutan dan ladang di Indonesia yang turut menjejaskan Malaysia pada Ogos dan September 2019, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Doni Monardo berkata Indonesia telah melakukan segala-galanya dalam menangani isu itu termasuk bertungkus-lumus dalam operasi memadam, mencegah dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.

Indonesia juga menzahirkan penghargaan kepada Malaysia yang sering membantu negara itu setiap kali ditimpa musibah bencana alam.

Berkenaan isu bola sepak, memetik kata- kata Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Ratu Tisha Destria; “Kita semua sudah tahu betapa hebatnya penyokong Jepang (Jepun) yang bersih-bersihkan stadium setelah (sekalipun pasukannya) kalah ( dalam aksi Piala Dunia 2018) …tapi, ketika kita kalah yang levelnya baru di peringkat kelayakan, jangankan (untuk) membersihkan sampah, malah melemparkannya kepada lawan…”.

Kata-kata yang perlu dihayati setiap penyokong bola sepak Indonesia dan juga Malaysia.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana dalam satu temu bual bersama media Malaysia pada Ogos 2019, berkata kedua-dua negara perlu ketepikan untuk bersaing satu sama lain, mengabaikan hal- hal “sepele” (remeh-temeh), sebaliknya memfokuskan usaha menjadi negara maju.

“Sudah tiba masanya kita menggunakan kelebihan persamaan antara kita, usah lagi mencari perbezaan,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dr Mahathir telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), menyasarkan menjadikan Malaysia sebagai “Harimau Asia” yang baharu, dan berdasarkan visi Jokowi, Garuda (Indonesia) juga bisa terbang tinggi dalam visi mencapai negara maju pada 2045.

Dalam pidato pertamanya selepas pelantikan sebagai Presiden Indonesia 2019-2024, visi Jokowi adalah pendapatan perkapita rakyat Indonesia sebanyak Rp27 juta sebulan (kira-kira RM8,100) dan Produk Domestik Bruto Indonesia (KDNK) mencapai USD 7 trilion.

Mengikut perbandingan, pada 2018, KDNK Indonesia melebihi US$1 trilion, manakala Malaysia sekitar US$350 bilion.

Semoga Indonesia dan Malaysia terus maju dan makmur bersama-sama.

-BERNAMA


Pengarang :