AGENSISELANGOR

2020: YAWAS fokus kebajikan kanak-kanak

SHAH ALAM, 16 JAN: Pencapaian memberangsangkan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tahun lepas terhadap warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) diteruskan dengan tumpuan kepada golongan kanak-kanak pula tahun ini kata pengurus besarnya.

Gan Pei Nei berkata program seperti Riang Ria Dunia Membaca, Bengkel Bercerita dan Keibubapaan serta 10 siri Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK) akan dianjurkan bagi mendekati golongan terbabit.

YAWAS juga katanya akan bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bagi penganjuran aktiviti bercerita dan kraftangan di perpustakaan awam terpilih sekali gus membudayakan tabiat membaca melalui Riang Ria Dunia Membaca.

“Bengkel Bercerita dan Keibubapaan pula untuk menggalakkan ibu bapa main peranan dalam pembangunan anak-anak kecil. YAWAS juga bercadang menganjurkan 10 siri KIPK bagi melatih pengasuh di rumah dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kebersihan dan kesihatan dalam penjagaan kanak-kanak,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berkenaan pencapaian 2019, Pei Nei berkata YAWAS berjaya mencapai sasaran dalam menyedia bantuan kepada golongan sasar antaranya belia dan wanita.

YAWAS berperanan menguruskan beberapa program kebajikan bawah Kerajaan Negeri antaranya seperti Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas; Program Bantuan Masuk Sekolah; Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor; Skim Bantuan Tadika Selangor; Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar dan Skim Kesihatan Wanita Selangor.


Pengarang :