EXCO SELANGOR

28 gerai makanan rai pengunjung Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 28 gerai makanan disediakan sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Dataran Petaling Jaya pada 1 Februari ini, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata antara menu dihidangkan termasuk nasi ayam kunyit, nasi goreng cina, mi atau kuey teow goreng, roti john, bihun sup dan yong tau fu.

Katanya, sambil menikmati makanan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan muzikal, tarian singa dan pemberian angpau kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Sambutan ini bertujuan memupuk persefahaman dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama dan merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dengan masyarakat.

Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kehadiran orang awam bagi memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya yang menambah sambutan bermula 6.30 petang hingga 10.30 malam.

Chang Khim turut menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan perkhidmatan bas percuma PJ City Bus dari stesen terpilh ke lokasi itu.

Beliau berkata, sebanyak 20 bas disediakan membabitkan empat hentian iaitu PJ01 (Taman Medan-PPUM), PJ02 (LRT Taman Jaya-SS2 via Jalan Bukit), PJ03 (LRT Taman Bahagia-SS6 Kelana Park View) dan PJ04 (LRT Taman Bahagia-Sg. Way-SS2).

“Pada masa sama, 3,709 parkir mengikut lokasi disediakan bagi kemudahan orang awam secara percuma di tempat letak kereta awam Seksyen 10, Taman Jaya, Kompleks C Parking, On Street Parking Seksyen 52 dan Kompleks A.

“Manakala dua lokasi lagi berbayar iaitu Amcorp Mall dan Bangunan PJX,” katanya.


Pengarang :