Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3.64 juta hektar kawasan sawit dapat MSPO

BEAUFORT, 4 JAN: Sebanyak 3.64 juta hektar atau 62.3 peratus daripada 5.85 juta hektar kawasan penanaman sawit di negara ini telah mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat 31 Disember lepas.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata pensijilan itu meliputi kawasan estet seluas 2.98 juta hektar, kawasan diusahakan pekebun kecil tersusun seluas 578,707 hektar dan pekebun kecil persendirian (PKP) seluas 89,454 hektar.

Beliau berkata di samping itu 340 kilang sawit atau 75.2 peratus sudah mendapat MSPO.

“Bagi negeri Sabah, semua 29 Kelompok Minyak Sawit (SPOC) di negeri ini telah dipersijilkan dengan MSPO yang melibatkan seramai 3,513 PKP dengan keluasan tanaman sawit 24,964 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat MSPO bersama penanam sawit Sabah di Dewan Kesenian Islam, Membakut di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Bagaimanapun Kok berkata keluasan yang dipersijilkan dengan MSPO di Sabah masih rendah iaitu hanya 11.6 peratus daripada keseluruhan 215,000 hektar tanaman sawit PKP di neger ini.

MPOB telah mengeluarkan notis kepada pemilik ladang sawit yang mempunyai jumlah keluasan lebih 100 ekar supaya mendapatkan MSPO, jika tidak lesen jualan mereka akan dibatalkan.

“Kementerian berharap melalui taklimat ini PKP di sekitar Membakut dan Beaufort akan memohon pensijilan MSPO,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :