Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat, kanan) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga, kiri) mengiringi calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir Beaufort pada 4 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

793 anggota polis pastikan kelancaran PRK Kimanis

BEAUFORT, 4 JAN: Polis menempatkan 793 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh berkempen 14 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pada proses penamaan calon pagi tadi, tiada sebarang insiden berlaku dan tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung perjalanan proses itu.

“Saya juga ingin mengingatkan calon bertanding, ejen calon atau penyokong mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan jangan membuat sebarang provokasi atau permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini hari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini dengan hari pengundian awal pada 14 Januari.

– BERNAMA


Pengarang :