Barisan penaja Malaysia Women Marathon bergambar selepas sidang akhbar di Hotel Crystal Crown di Petaling Jaya, 20 Januari 2020. Foto NADIAN ZAMLUS
AGENSISELANGOR

8,000 bakal sertai maraton wanita terbesar Asia Tenggara

PETALING JAYA, 20 JAN: Malaysia Women Marathon (MWM) bakal menarik 8,000 peserta wanita sekali gus menjadi acara larian terbesar di Asia Tenggara yang disertai kumpulan berkenaan pada 6 hingga 8 Mac ini.

Pengarah MWM, Karen Loh berkata, penganjuran yang memasuki tahun ke lapan melibatkan peserta dari dalam dan luar negara.

“Tahun lalu, MWM menarik 7,000 peserta manakala tahun ini dijangka terus meningkat. Sehingga kini sudah 500 wanita mendaftar bagi larian sejauh 42 kilometer (km).

“MWM bukan larian semata-mata sebaliknya ia juga mempromosikan kesaksamaan jantina kepada kaum wanita dan juga lelaki,” katanya pada Sidang Media MWM di Hotel Crystal Crown di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life, Prasheem Seebran, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad.

MWM yang berlangsung di Padang Timur itu terbuka kepada empat kategori iaitu 42km, 21km, 10km dan 5km.

Menariknya kali ini, peserta terbaik bagi kategori maraton 42km akan berpeluang menyertai Acara Maraton Nagoya di Jepun manakala bagi peserta terbaik 21km akan menyertai Larian Wanita Taipei 2020.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di www.mwm.my.


Pengarang :